TRANSLATE

Google Translate
Arabic Korean Japanese Chinese Simplified Russian Portuguese English French German Spain Italian Dutch

Pengikut

Khamis, 31 Disember 2009

SPR CADANG MEMINDA PERATURAN-PERATURAN PILIHAN RAYA


PETALING JAYA: Cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengadakan tempoh bertenang selama 24 jam dan proses penamaan calon selama tiga hari mendapat reaksi berbeza daripada pemimpin parti-parti politik.

Rata-rata parti pembangkang menyifatkan cadangan berkenaan merupakan sesuatu yang sia-sia dan tidak akan memberi banyak perubahan kepada sistem pilihan raya di negara ini.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan, cadangan berkenaan merupakan sesuatu yang mengarut dan tidak berfaedah.

Beliau berkata, cadangan supaya tempoh penamaan calon dilanjutkan selama tiga hari hanya membuang masa dan merugikan.

"Ini mengarut dan buang masa. PAS tolak sama sekali cadangan ini," katanya .

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai cadangan SPR untuk meminda Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

Antara cadangannya ialah bagi melanjutkan tempoh bertenang selama 24 jam dan proses penamaan calon selama tiga hari bagi membendung kekecohan dan keganasan yang ditimbulkan oleh penyokong-penyokong parti bertanding.

Jika cadangan itu diluluskan maka tempoh bertenang akan bermula sehari sebelum hari pembuangan undi berbanding bermula pada pukul 12 tengah malam sebelum hari pengundian sekarang ini.

Cadangan supaya tempoh penamaan calon dipanjangkan selama tiga hari pula untuk mengelakkan pertembungan penyokong parti-parti bertanding yang datang secara serentak.

Selain itu, Salahuddin juga berkata, SPR sepatutnya menumpukan kepada usaha untuk meningkatkan integriti suruhanjaya itu terutamanya dalam isu-isu yang memberi kepentingan kepada rakyat.

"Saya nak nasihatkan kepada SPR supaya fikir perkara-perkara yang lebih besar dan memberi manfaat kepada pengundi...bukannya perkara remeh dan teknikal macam ini.

"Ada banyak isu lain perlu diteliti seperti masalah undi pos, kos perbelanjaan pilihan raya serta mengenai kebebasan media," katanya.

Jelas beliau, isu keselamatan yang dibangkitkan oleh SPR sebenarnya boleh diatasi dengan meningkatkan kerjasama dengan pasukan keselamatan.

Katanya, isu berkenaan tidak akan berbangkit sekiranya SPR menyediakan mekanisme yang terancang bagi mengelak berlakunya kekecohan di kalangan penyokong parti pada hari penamaan calon.

"SPR sepatutnya sediakan tempat yang sesuai untuk para penyokong bagi parti-parti yang bertanding.

"Mereka juga perlu tingkatkan kawalan keselamatan dengan kerjasama pihak yang berwajib bagi mengawal proses penamaan calon... itu sahaja," katanya.

Bagaimanapun katanya, cadangan bagi melanjutkan tempoh bertenang kepada 24 jam adalah sesuatu yang baik.

"Yang itu baiklah, itu tak ada masalah... tapi walau apa pun kita kena bahas dulu usul ini bila ia dibentangkan di Parlimen nanti," katanya.

Bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka juga menolak cadangan berkenaan kerana menganggap ia hanya memberi kepentingan kepada Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Pengarah Strategi PKR, Tian Chua berkata, pihaknya meragui cadangan SPR itu kerana dilihat mempunyai muslihat yang tersembunyi.

"Dengan cadangan ini kita nampak macam SPR ada agenda tertentu untuk berpihak kepada BN.

"Itu semua cadangan BN, cadangan kita dari pembangkang langsung tidak diendahkan sedangkan isu-isunya adalah lebih besar dan penting.

"Kita bukan sahaja menolak, tapi kesal dengan sikap SPR yang agak berat sebelah ini," katanya.

Jelasnya, SPR perlu lebih prihatin dan peka dengan permintaan rakyat yang mahu beberapa isu diselesaikan dengan segera.

"Tolonglah tumpu kepada isu-isu yang lebih besar seperti pemutihan senarai pengundi, kemaskini data pilihan raya...ini lagi penting," katanya.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan memberikan pandangan berbeza mengenai cadangan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik cadangan sedemikian kerana dilihat mampu mewujudkan suasana pilihan raya yang tenteram dan aman.

"Saya pasti SPR sudah perhalusi dan menilai mengenai cadangan ini sebelum mereka suarakan.

"Bagi Umno, kami melihat cadangan ini memang ada baiknya namun perlu diperhalusi mengenai kaedah perlaksanaan," katanya.

Jelasnya lagi, walaupun cadangan tersebut diterima, hak demokrasi pengundi tidak diabaikan.

"Hak demokrasi adalah sangat penting, selagi cadangan ini tidak menggugat hak berkenaan, saya rasa tidak ada masalah jika cadangan ini diterima," katanya.


Komen

Bagi saya asalkan tidak menusahkan rakyat itu yang paling utama

Ahad, 27 Disember 2009

AMBIL AJA KERUSI PKR

( Gambar Sekadar Hiasan )



SEJAK 1990, apabila Pas mula memerintah Kelantan, ia dianggap kawasan selamat bagi Pas, oleh itu siapa sahaja yang diletakkan sebagai calon bagi bertanding kerusi Parlimen ia tidak ada masalah.

Pada masa ini terdapat tiga pemimpin Pas yang bukan berasal dari Kelantan tetapi menjadi Ahli Parlimen di negeri berkenaan, mereka ialah Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa (Bahcok), Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) dan Bendahari Agung Pas, Dr.Hatta Ramli (Kuala Krai).

Tetapi apakah nasib mereka selepas ini, setelah wujudnya isu bahawa Pas Kelantan akan mempertimbangkan untuk mengutamakan calon anak tempatan bagi bertanding kerusi Parlimen di negeri itu.

Walaupun setakat ini, belum ada keputusan muktamad tetapi ia menjadi bualan ramai. Ada yang mengaitkan ia dengan hubungan dingin antara Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Nasharuddin, justeru timbul andaian bahawa antara ketiga-tiga Ahli Parlimen tersebut Nasharuddin paling tidak selamat.

Bagaimanapun adalah terlalu awal untuk membuat telahan memandangkan Nik Abdul Aziz sendiri sudah menyatakan bahawa, ''Di dalam Islam tidak ada perbezaan antara orang luar dan orang dalam.''

Penganalisis politik dan sosial, Ahmad Masrizal Muhammad berkata, walaupun penentuan soal ini adalah hak eksklusif kerajaan Pas Kelantan tetapi Pas negeri itu sudah dianggap model kepada Pas negeri lain terutama dalam membentuk pentadbiran politik.

''Dasar sedia ada iaitu adanya orang luar menjadi wakil rakyat Pas di Kelantan adalah satu keunikan yang melambangkan sikap keterbukaan dan keberanian, inilah yang menjadi Pas Kelantan berbeza dengan Pas negeri lain,'' katanya.

Oleh itu kata beliau jika Pas Kelantan benar-benar hendak mengamalkan dasar tidak mahu lagi menerima orang luar ia perlu dijelaskan kepada penyokong parti itu.

Sememangnya itulah langkah yang harus dilakukan oleh Pas Kelantan bagi mengelakkan sebarang spekulasi dibuat, jika 'dasar tutup pintu' kepada orang luar tersebut dilaksanakan. Hakikatnya, ketiga-tiga ahli Parlimen berkenaan terutamanya Nasharuddin dan Salahuddin bukanlah calang-calang pemimpin. Mereka dilihat pemimpin masa depan Pas. Nasharuddin dilihat cukup cemerlang di peringkat pusat.

Menumbangkan

Kejayaan menumbangkan Datuk Awang Adek Hussain di Bachok pada pilihan raya umum lalu sudah membuktikan bahawa penyokong Pas melihat bahawa ketokohan Nasharuddin tidak harus disia-siakan.

Begitu juga Salahuddin yang diterima baik oleh pengundi-pengundi Kubang Kerian kerana beliau melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan sehingga menyukarkan UMNO Kelantan menembusi kubu kuat Pas itu. Walaupun berasal dari Johor tetapi Salahuddin tidak pernah mengabaikan tanggungjawab di Kubang Kerian, sebab itulah jika Pas Kelantan tidak lagi membenarkan beliau bertanding di situ, ia bukan sahaja akan merugikan mereka tetapi juga Pas pusat.

Mungkin juga selepas memerintah 20 tahun, Pas Kelantan berasa masanya sudah tiba untuk anak tempatan diutamakan. Sebenarnya langkah itu tidak salah tetapi mereka perlu berhati-hati bagi mengelakkan sebarang tafsiran bahawa ia ibarat perbuatan 'lepas manis sepah dibuang.'

Ia kerana setakat ini, orang luar yang menjadi Ahli Parlimen Pas di Kelantan telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dan mereka berkhidmat di negeri Cik Siti Wan Kembang itu seolah-olah itu negeri asal mereka. Janganlah kerana ada sedikit 'perselisihan faham' dalam pendirian politik, maka mereka hendak dikorbankan begitu sahaja tanpa memikirkan implikasinya bagi jangka masa panjang kepada Pas.

Menyentuh perkara itu, Ahmad Masrizal berkata, soalnya jika berbalik semula dengan formula baru iaitu Kelantan untuk orang Kelantan sahaja, dalam keadaan gelora politik yang tidak bertepian yang melanda Pas sekarang ini termasuk permasalahan integriti pentadbiran kerajaan negeri, apakah Pas mampu menjamin rekod kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti?

Hujah seumpama ini seharusnya menyedarkan Pas bahawa cabaran untuk mereka terus menikmati kemenangan selesa seperti mana dalam pilihan raya umum lalu adalah terlalu getir.

Mungkin mereka merasakan Pas semakin selesa di Kelantan tetapi mereka tidak harus lupa bahawa dalam politik segalanya boleh berlaku. Pas negeri itu hakikatnya tidak sekebal mana, tersilap langkah mereka boleh kehilangan kuasa.

Apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum 2004, apabila Nik Abdul Aziz terpaksa memerintah dengan kelebihan hanya dua kerusi sudah menjadi bukti bahawa kekuatan Pas bukannya tidak boleh diruntuhkan.

Apatah lagi, sama ada mereka hendak mengakui atau tidak, kekuatan Pas di Kelantan bergantung kepada Nik Abdul Aziz. Jika selepas ini Nik Abdul Aziz terpaksa berundur, maka pengunduran itu akan menyeret bersama kekuatan berkenaan.

Dalam memastikan ia tidak menjadi kenyataan, Pas Kelantan harus bijak berstrategi dan bukannya dengan mudah membuat sesuatu keputusan hanya semata-mata berlandaskan kepada pandangan satu dua pihak sahaja.

Mahu tidak mahu, Pas harus mengakui bahawa di peringkat Parlimen masih terdapat banyak kerusi di seluruh negara yang tidak selamat untuk pemimpin-pemimpin utamanya bertanding.

Tambahan pula dengan kesepakatan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), ruang untuk Pas bertanding di kawasan-kawasan yang parti itu ada harapan adalah tipis.

Adalah lebih wajar jika Pas mengambil kembali tiga kerusi Parlimen miliknya di Kelantan yang sebelum ini diberikan kepada PKR iaitu di Ketereh, Machang dan Tanah Merah. Itu lebih baik daripada mereka menyingkirkan orang mereka sendiri hanya kerana faktor orang luar.

Apatah lagi, di Kelantan kehadiran PKR ibarat hidup segan mati tak mahu. Parti itu tidak mempunyai apa-apa pengaruh, sebaliknya hanya bergantung kepada kekuatan Pas bagi meraih kemenangan dalam pilihan raya. Adalah wajar jika Pas bertanding di semua kawasan Parlimen manakala PKR hanya diberikan satu dua kerusi sahaja di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebelum ini pun kehadiran PKR tidak menyumbang apa-apa kepada Pas di Kelantan maknanya bak kata orang, ada pun tak untung, tak ada pun tak rugi.

Apa pun Pas Kelantan mempunyai kata putus dengan restu Pas pusat bagi menentukan sama ada calon orang luar perlu terus diberi kebenaran bertanding di negeri itu atau tidak.

Tetapi apa yang pasti, kekuatan Pas di Kelantan tidaklah sehebat dulu, terlalu banyak peristiwa yang berlaku kebelakangan ini menunjukkan bahawa lagi lama mereka memerintah lagi banyak kepincangan berlaku kerana Pas juga adalah parti politik.

Petikan Dari UM online

Isnin, 21 Disember 2009

TAKZIAH KEPADA DATUK MAZNAH MAZLAN. AYAHANDANYA MENINGGAL JAM 9.50PAGI TADI

( GAMBAR HIASAN DATUK MAZNAH BERSAMA IBU BIBI JUGA TELAH MENINGGAL DUNIA SEBULAN LALU, SALAH SEORANG AHLI UMNO CAWANGAN KUALA ROMPIN )

KUALA LUMPUR: Bapa kepada Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan meninggal dunia pada pukul 9.50 pagi ini di Pusat Perubatan Gleneagles Ampang akibat kanser pankreas.

Allahyarham Mazlan Taib, 80, yang menghidap penyakit itu sejak dua tahun lepas akan dikebumikan di Taman Sedia, Tanah Rata Cameron Highlands selepas solat Asar, kata Maznah kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Maznah berkata beliau dimaklumkan mengenai kematian bapanya sebelum persidangan Dewan Negara bermula dan memandangkan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam ketika ini berada di Iran, beliau terpaksa hadir pada persidangan Dewan Negara hari ini bagi menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 bagi kementerian itu.

"Saya hadir sebab tahu jika bapa saya masih hidup dia memang nak saya sempurnakan tugas saya hari ini," katanya.

Beliau berkata Allahyarham bapanya adalah antara perintis pembukaan Cameron Highlands dan beliau memulakan kehidupannya di tempat peranginan itu pada tahun 1940-an semasa bekerja dengan Kem British.

Terdahulu Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Ir Wong Foon Meng menyampaikan ucapan takziah kepada Maznah sebelum sesi penggulungan bermula.

Beliau juga melahirkan penghargaan kepada Maznah kerana tetap meneruskan tugasnya untuk menjawab pertanyaan lisan dan menggulung perbahasan walaupun Dewan membenarkan untuk menteri lain mewakili beliau.

Maznah berkata antara saat paling berharga yang dirasai bapanya ialah ketika beliau (Maznah) mengangkat sumpah sebagai Senator dua tahun lepas.

"Saya tahu beliau mahu saya selesaikan tugas saya hari ini sebelum mengiringi jenazah beliau ke Cameron Highlands," katanya. - BERNAMA

Komen

Kami Jawatankuasa dan Ahli UMNO Cawangan Kuala Rompin berdoa agar roh Ayahanda Datuk Maznah Mazlan dan Ibu Bibi dirahmati Allah dan dimasukkan bersama-sama orang-orang yang beriman........................ Amin

Khamis, 17 Disember 2009

TAKLIMAT MEDIA BARU ANJURAN PERGERAKAN PEMUDA UMNO ROMPIN

YB DATO' HJ MOHAMAD SAHFRI SEDANG MEMBERI UCAPAN




DATO' SETIAUSAHA Y.A.B MENTERI BESAR PAHANG




Taklimat media baru yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rompin bagitu bermakna untuk kalangan bloger-bloger. Satu pendekatan, ramah mesra dan saling kenal mengenali antara satu sama lain. Terima kasih kepada YB. Dato' safri dan Jawatankuasa yang menganjurkan program ini kerana sudi menjemput UMNO CAWANGAN KUALA ROMPIN wakil tunggal bloger dalam DUN Tioman bagi menghadiri Taklimat Media Baru Oleh Setiausaha Y.A.B Menteri Besar Pahang. Di Kesempatan ini diharap Pemuda, Puteri, Wanita dan Cawangan atau individu di DUN Tioman dapat menyemarakkan lagi media baru ini dengan menambahkan blog-blog dan facebook mereka dalam memperjuangkan Agama, Bangsa dan Negara. Di Dun Tioman boleh dikatakan tidak sampai 5% blog atau facebook menyokong kerajaan. lebih dari 95% adalah terdiri dari blog-blog dan facebook parti pembangkang.

( PENGURUS FELDA JUGA TIDAK KETINGGALAN HADIR UNTUK MENDENGAR TAKLIMAT MEDIA BARU )

Rabu, 16 Disember 2009

SALAH SATU TEMPAT YANG BOLEH DIMAJUKAN DAN MEMBUKA PELUANG PEKERJAAN PADA ANAK TEMPATAN

BOT PENEBANG BALAK DALAM AIR DIBEKAS LOMBONG
KETIKA INI SEDANG GIAT DITEBANG


PANDANGAN DARI JALAN KE TAMAN NEGERI ROMPIN/ENDAU



TANAH YANG TINGGI DITEPI LOMBONG



PANDANGAN DARI JALAN KE LOMBONG



KECANTIKAN LOMBONG YANG MASIH BOLEH DI HIDUPI IKAN DAN LAIN-LAIN



Satu lagi kawasan yang harus difikirkan oleh Kerajaan Negeri Pahang atau Pentadbiran Daerah Rompin. Agro Pelancungan yang amat sesuai dimajukan. Disamping Tanam Negeri Rompin/Endau , Bekas Lombong yang sepi di tepi jalan ke Taman Negeri harus dimajukan.

Kawasan ini boleh dijadikan kawasan aktiviti riadah air, memancing dan menyedut udara hutan simpan. Kawasannya boleh melihat aktiviti Peneroka Selendang, Air Terjun , Taman Bonzai dan lain-lain. Dengan kemajuan ini dapatlah anak-anak peneroka tau generasi ke dua peneroka Selendang dapat meneruskan kehidupan ditempat sendiri.

Keindahan yang belum tercemar boleh dijadikan, pelacungan semula jadi tanpa menggangu gugat persekitaran.



JABATAN TENAGA KERJA NEGERI PAHANG MEMAINKAN PERANAN MENGURANGKAN PENGANGGURAN DIROMPIN HARUS DIPUJI


SELENDANG – Seramai 30 pencari kerja berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan di sini, pada Program Penempatan Pekerjaan (3P) yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Selendang 4 di sini, semalam.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri, Makhtar Ahmed berkata, manakala seramai 130 daripada 300 pencari kerja yang hadir pada program 3P akan ditemu duga semula.

Menurutnya, sebanyak 15 majikan pelbagai sektor turut serta dalam program itu bagi mengambil pekerja atau pelatih baru dalam organisasi masing-masing.

“Banyak kekosongan yang ditawarkan syarikat terbabit kepada pencari kerja yang berkelayakan dengan tawaran gaji yang menarik,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Makhtar berkata, antara syarikat yang turut serta dalam program itu seperti Yayasan Pahang Holding Sdn Bhd, IOI Corporation Bhd, Felda Plantations Sdn Bhd, First Dairy Farm (M) Sdn Bhd dan MSD Digital Intelligence Sdn Bhd.

Beliau berkata, syarikat terbabit menawarkan peluang kepada setiap pencari kerja jawatan kosong seperti penyelia, kerani, eksekutif kewangan dan eksekutif pemasaran.

“Kebanyakan yang datang bukan saja daripada anak-anak peneroka, malah pencari kerja di Rompin juga mengambil kesempatan ini untuk ‘mencuba nasib’ sekiranya mereka ditawarkan jawatan dalam organisasi berkenaan,” katanya.

Ditanya mengenai lokasi pemilihan yang dibuat di kawasan Selendang, Makhtar berkata, sasaran dibuat untuk memberi peluang lebih luas kepada anak-anak peneroka dan pekerja ladang Plantations Sdn Bhd.

“Jika sebelum ini, kita sudah adakan program serupa di Perantau Damai, Muadzam Shah, kini tiba giliran Selendang pula menjadi lokasi terakhir JTK pada tahun ini.

“Bagaimanapun penyertaan pencari kerja dari kampung tradisional lain juga menggalakkan, malah kita yakin program ini dapat diteruskan lagi pada tahun depan,” katanya.

:Beliau berkata, kebanyakan pencari kerja juga tidak tahu perkhidmatan yang disediakan JTK termasuklah cara mendaftar secara dalam talian untuk program penjodohan pekerjaan melalui ‘JobsMalaysia’.

Khamis, 10 Disember 2009

JETI LAMA YANG TINGGAL TIANG MENYAKITKAN MATA, DIPULAU TIOMAN


PULAU TIOMAN – Penduduk di Kampung Mukut, Pulau Tioman di sini, menggesa Jabatan Laut merobohkan segera jeti lama di kampung Mukut kerana membahayakan keselamatan bot nelayan ketika melalui perairan Tioman.

Penduduk, Asmadi Mohd Tahir, 38, mendakwa, jeti konkrit kayu yang dibina di kawasan itu belum dirobohkan sepenuhnya memandangkan terdapat struktur binaan kayu yang masih tertinggal.

Menurutnya, jeti yang berusia lebih 20 tahun itu juga pernah menyebabkan beberapa kes kematian di kawasan itu berikutan kayu yang ada di perairan itu membahayakan bot kecil terutama pada waktu malam.

“Masih ada cebisan kayu yang masih belum dirobohkan Jabatan Laut meskipun perkara ini sudah lama diberitahu hingga ada kes kematian dilaporkan di kawasan itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Asmadi berkata, Jabatan Laut perlu melakukan tindakan segera bagi mengelakkan kejadian seperti itu berlaku pada masa depan sekali gus menangkis tanggapan tidak baik kepada pulau peranginan berkenaan.

Penduduk lain, Saman Salam, 56, berkata, perkara itu sudah diajukan kepada Jabatan Laut menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Mukut.

Namun katanya, tiada sebarang tindakan diambil pihak berkaitan bagi mengatasi masalah itu sebaliknya penduduk terpaksa menunggu bertahun lamanya supaya jeti lama itu dapat dirobohkan.

“Tiada tindakan langsung daripada pihak terbabit. Saya mahu tegaskan bahawa adakah bila ada kes kematian baru mereka mahu merobohkan jeti lama itu,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mat Latar Mahmod, 38, berkata, selain daripada isu keselamatan, jeti lama itu juga menjejaskan pemandangan di kawasan itu kerana terdapat serpihan kayu yang belum dirobohkan.

Beliau berkata, perkara itu perlu diperhalusi Jabatan Laut kerana ia boleh memberi tanggapan yang buruk kepada Tioman oleh pelancong yang datang ke kampung berkenaan.

“Pulau Tioman memang sudah dikenali antara pulau tercantik, jadi keindahan dan kecantikan semula jadinya perlu dipelihara bagi menarik lebih ramai pelancong,” katanya.

petikan dari sinar

Rabu, 9 Disember 2009

YB. TUAN HAJI KHAIRI KE PUTERAJAYA ?


Kalau Kenyataan yang dibuat oleh bloger http://azlishukri.blogspot.com/ menjadi kenyataan kami dari jauh ingin mengucapkan taniah diatas kepercayaan tersebut. sebagai seorang Ketua Pemuda UMNO harus ada sesuatu kekuatan untuk meneruskan perjuangan pemuda. Kemungkinan juga ini adalah satu ramalan yang tidak menjadi kenyataan. walau apa sekali yang berlaku perjuangan harus diteruskan demi untuk Agama, Bangsa dan Negara.

Jumaat, 4 Disember 2009

DARI JAUH DISAMPAIKAN SALAM DAN DOA


SELAMAT KEMBALI DARI MENUNAIKAN RUKUN ISLAM KE LIMA
SEMUGA AMALAN HAJI DITERIMA OLEH ALLAH
KEBERKATAN DAN DOA SEMUGA TERUS BERJUANG
DARI JAUH KAMI SAMPAIKAN SALAM

Khamis, 3 Disember 2009

MERCU TANDA UMNO CAWANGAN ROMPIN HAMPIR SEMPURNA




Bulan December , bulan musim tengkujuh di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Rompin tidak ketinggalan daripada tempiasnya musim tersebut. Sejak awal bulan November lagi hujan sentiasa turun di Rompin boleh dikatakan selang sehari. Rompin tidak lagi mengalami banjir, walau pun bagitu dikawasan tanah rendah terdapat takungan air yang sukar untuk mengalir ke sungai, air hanya menanti matahari atau penyerapan ke dalam tanah barulah tempat-tempat tersebut kering.

Dalam keadaan Hujan dan air bertakung Bangunan UMNO tetap diteruskan hampir 50% pembangunan telah dilakukan. Pada hari ini batu bata telah datang untuk dibuat dinding dan lain-lain tempat. Walaupun keadaan cuaca akan membantut usaha-usaha membina tiang ditingkat tiga bangunan, kerja-kerja menyiapkan bahagian bawah dan tingkat dua terus dijalankan.

Insyaallah mesyuarat pada tahun 2010 dan pemilihan Jawatankuasa Baru UMNO Cawangan Kuala Rompin dapat diadakan di Bangunan UMNO Cawangan Kuala Rompin yang akan siap pada awal bulan Julai 2010.

Khamis, 26 November 2009

SELAMAT MENYAMBUT HARIRAYA AIDILADHA DAN SELAMAT MENJALANKAN IBADAH KURBAN


SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA
MAAF ZAHIR BATIN
DARI SEMUA JAWATANKUASA
UMNO CAWANGAN KUALA ROMPIN
KEPADA AHLI UMNO CAWANGAN KUALA ROMPIN
PENDUDUK DIDALAM PARLIMEN ROMPIN
PENGUNJUNG BLOG INI
SEMUGA ALLAH MEMBERKATI DAN MENERIMA AMALAN KURBAN KITA .........

Rabu, 25 November 2009

KAWASAN RUKUN TETANGGA (KRT ) PERLU TUNJUKAN CONTOH TERBAIK


YB. ADUN TIOMAN MENYAMPAIKAN HADIAH KEPADA ANAK-ANAK YANG AKAN BERKHATAN SEMPENA PROGRAM BERKHATAN BERAMAI-RAMAI DI KG. JANGLAU



KUALA ROMPIN - Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perlu menunjukkan contoh yang baik dari segi perpaduan dalam kalangan mereka agar dapat berperanan sebagai penganjur utama kesepaduan masyarakat.

Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Rompin, Norlisnawati Min berkata, bagi menjayakannya, jawatankuasa KRT perlu mengelak daripada bertelingkah sesama sendiri dan penduduk kerana jika ia berlaku penubuhan KRT hanya akan menjadi sia-sia.

Menurutnya, adalah sukar untuk menjalankan aktiviti yang dirancang demi kebaikan masyarakat sekiranya jawatankuasa sendiri tidak berpadu dan tidak di-yakini anggota masyarakat.:

“KRT mampu berperanan sebagai penggerak dalam menyatupadukan masyarakat kerana peranan yang dimainkannya adalah bersifat menyeluruh,” katanya ketika ditemui pada Majlis Khatan Beramai-Ramai anjuran KRT Janglau, semalam.

Norslinawati berkata, perpaduan dalam erti kata sebenar ialah mewujudkan keharmonian hidup sesama jiran dan penduduk sekampung tanpa mendiskriminasikan perpaduan kaum.:

“Jika tiada perpaduan sesuatu program itu sukar untuk dilaksanakan dengan lebih berkesan kerana berlakunya kepincangan dalam institusi kemasyarakatan itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, amalan hidup berbilang kaum memang diamalkan di negara ini sejak dulu lagi dan semua rakyat bebas bergaul tanpa membezakan status bangsa.:

Menurutnya, nikmat keamanan yang dikecapi pada masa ini perlu dipertahankan generasi pelapis masa depan bagi memastikan perpaduan kaum terus kekal terpelihara.

“Institusi kejiranan memainkan peranan dalam usaha mengharmonikan masyarakat. Penglibatan pelbagai kaum dalam setiap program yang dianjurkan dapat mengukuhkan lagi hubungan sedia ada.

“Justeru, melalui persefahaman ini rakyat berbilang kaum boleh hidup dengan aman dan bebas menjalankan kerja-kerja harian dengan lebih selesa,” katanya.


Isnin, 23 November 2009

TIOMAN MENERIMA KEMUDAHAN BEKALAN ELEKTRIK LAGI


Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mempertingkatkan sistem janakuasa elektrik di dua kampung di Pulau Tioman iaitu di Genting dan Juara bagi mengurangkan gangguan bekalan elektrik di pulau peranginan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Kapten (B) Mohd Johari Hussain berkata, langkah itu penting kerana stesen janakuasa sedia ada tidak mempunyai kapasiti mengeluarkan tenaga dalam jumlah berlebihan untuk disimpan.

Menurutnya, TNB membuat pemantauan pada struktur binaan pada lokasi di Pulau Tioman bagi meningkatkan dan menambah baik sistem janakuasa di pulau itu.

“Baru-baru ini, Kampung Genting dibekalkan dengan janakuasa dengan kos hampir RM1 juta bagi meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan elektrik di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berkhatan Beramai-ramai anjuran KRT Kampung Janglau, di sini.

Mohd Johari berkata, sebelum ini kedua-dua kampung itu berkongsi set janakuasa dengan Kampung Tekek bagi tujuan berkenaan, sekali gus menyebabkan kapasiti tenaga diterima adalah rendah.

“Dengan penambah baik sistem sedia ada, kita harap gangguan bekalan elektrik berada pada tahap minimum kerana difahamkan penduduk di kedua-dua kampung sering alami kekerapan gangguan bekalan elektrik,” katanya.

Katanya, pihaknya juga bercadang untuk mencari jalan menggunakan sumber tenaga lain seperti solar yang lebih bersifat mesra alam pada masa depan.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dan ia bergantung kepada TNB sama ada wajar atau tidak untuk menggunakan sistem itu.

“Sistem ini sudah digunakan di darat iaitu di kampung Orang Asli Denai, dan ia terbukti mesra alam dan dapat atasi bekalan elektrik pada tahap minimum,” katanya.

Jumaat, 13 November 2009

SYUBAHAH ( KERAGUAN ) HUKUMAN SARI DEWI SHUKARNO TIDAK DIJALANKAN




Hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno belum dijalankan berikutan timbul syubahah (keraguan) dalam
pelaksanaan hukuman itu.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz berkata pelaksanaan hukuman itu perlu dilakukan secara berhati-hati terutama terhadap pesalah wanita.

"Sejak 52 tahun kemerdekaan negara, tidak ada lagi tukang sebat daripada kalangan wanita," katanya ketika menjawab soalan Syed Mohammed Tuan Lonnik (PAS-Beserah) berhubung kekangan dalam pelaksanaan hukuman terhadap Kartika pada persidangan DUN Pahang hari ini.

Mohamad Sahfri bagaimanapun berkata, hukuman sebat terhadap pesalah lelaki bagi kesalahan sama telah dilaksanakan dengan terbaru seorang rakyat Indonesia disebat enam kali di Penjara Penor di Kuantan semalam.

Beliau berkata Pahang merupakan antara negeri yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara dan sebatan bagi kesalahan meminum arak berbanding negeri lain dan ia perlu dijalankan dengan sebaik mungkin.

Kartika, 32, dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lepas setelah mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai tahun lepas.

Menjawab soalan mengenai hukuman enam sebatan yang dikenakan tidak mengikut syarak, Mohamad Sahfri berkata ia berpandukan undang-undang yang diluluskan DUN Pahang dan bidang kuasa yang diberi oleh Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Beliau berkata walaupun hukum syarak menetapkan hukuman 40 hingga 80 sebatan bagi kesalahan meminum arak yang merupakan satu daripada kesalahan hudud, Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa untuk menjatuhkan hukuman hudud.

Ini kerana enakmen yang ada hanya memperuntukkan hukuman takzir dan tiada hukuman had atau qisas walaupun ada di antara jenis kesalahan itu adalah hudud, katanya. BERNAMA

Selasa, 10 November 2009

BERITA DARI WASHINGTON



WASHINGTON: Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis berkata pertemuan pertama beliau dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama adalah "baik dan mesra."

Jamaludin, yang menyerahkan watikah pelantikannya kepada Presiden Amerika Syarikat pada 4 November, adalah duta Malaysia pertama yang diterima oleh Presiden Obama.

Meskipun beliau terpaksa menunggu agak lama sejak ketibaannya di Amerika Syarikat untuk menyerahkan watikah pelantikannya kepada Presiden Obama dan lantik secara rasmi sebagai duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Jamaludin kini dapat menjalankan secara rasmi tugas beliau sebagai duta Malaysia di negara yang beliau lihat sebagai mempunyai "potensi cemerlang" untuk membangunkan hubungan dua hala.

Terdapat pelbagai bidang membabitkan isu kepentingan dua hala di kedua-dua pihak, satu daripadanya ialah ketetapan perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Malaysia turut berminat untuk mendapatkan lebih banyak pelaburan dari Amerika Syarikat dan peningkatan perdagangan dengan negara berkenaan.

Jamaludin berkata beliau percaya Malaysia juga dapat menjadi sumber pelaburan yang bernilai di Amerika Syarikat, memandangkan semakin banyak syarikat di Malaysia yang mengenal pasti peluang pelaburan di luar negara.

"Syarikat di Malaysia perlu mengambil peluang yang disediakan kepada mereka di Amerika Syarikat yang bersikap amat terbuka kepada pelabur asing," katanya di luar kejohanan golf dan boling persahabatan anjuran Kedutaan Malaysia di sini pada Ahad lepas.

Kejohanan persahabatan itu membabitkan para petugas kedutaan di Washington DC dan Suruhanjaya Tetap Malaysia ke Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) serta Konsulat Besar di New York.

Antara yang hadir termasuk Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Hamidon Ali dan isteri Datin Amy Hamidon selain Konsul Besar Malaysia yang berpusat di New York, M. Zamruni Khalid, serta isterinya.

Jamaludin dan Hamidon turut bertukartukar cenderahati pada akhir kejohanan itu. BERNAMA