TRANSLATE

Google Translate
Arabic Korean Japanese Chinese Simplified Russian Portuguese English French German Spain Italian Dutch

Pengikut

Sabtu, 23 Mei 2009


Cerita ini disedut dari Cyberita Online Singapura. Lebih indah untuk dibaca semua yang melayari blog ini. Boleh dijadikan panduan dan pandangan.

LEMBARAN BARU HUBUNGAN SINGAPURA-MALAYSIA

Kedua-dua PM lahirkan kesungguhan bergerak ke hadapan dengan cara lebih 'produktif' dan 'membina'

Oleh
Chairul Fahmy Hussaini

HUBUNGAN baik Singapura-Malaysia memasuki lembaran baru dengan pemimpin kedua-dua negara bukan sahaja melahirkan kesungguhan untuk bergerak ke hadapan dengan cara lebih 'produktif' dan 'membina' menerusi beberapa projek ikonik termasuk kemungkinan membina sebuah jambatan baru menghubungkan negara ini dengan timur Johor.

Ini dibuktikan dengan pengumuman pelbagai inisiatif oleh Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dan rakan sejawatannya, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, menyusuli pertemuan empat mata mereka selama 45 minit di Istana, semalam.

Dalam sidang akhbar semalam, Encik Lee dan Datuk Seri Najib memberi komitmen untuk bekerjasama dalam memajukan Iskandar Malaysia bagi manfaat kedua-dua negara, di samping membangunkan sebuah projek ikonik yang akan menjadi mercu tanda hubungan erat Singapura-Malaysia.

Mengenai hal ini, Datuk Seri Najib menyarankan pembinaan sebuah Pusat Kesihatan bagi menarik kunjungan rakyat kedua-dua negara serta pelancong asing.

Usulan beliau itu menerima sambutan baik Encik Lee yang menyarankan agar idea tersebut diluaskan dan merangkumi projek pembangunan sebuah bandar lengkap dengan pelbagai kegiatan mencakupi perusahaan, tujuan pelaburan, komersial dan tempat tinggal.

Saranan itu akan dibincangkan oleh sebuah jawatankuasa bersama yang dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Negara, Encik Mah Bow Tan, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Di sidang akhbar itu juga, Datuk Seri Najib turut mengumumkan kemungkinan membina sebuah jambatan baru yang menghubungkan bahagian timur Singapura dengan Pengerang dan Desaru untuk manfaat jangka panjang.

Ini memandangkan kedua-dua kawasan tersebut mempunyai potensi ekonomi yang luas.

'Matlamatnya adalah untuk memudahkan pergerakan orang ramai, barangan dan perkhidmatan, sekali gus memudahkan perjalanan yang semakin bertambah,' ujarnya.

Mengenai Tambak Johor pula, Datuk Seri Najib secara terus terang berkata, beliau tidak mahu mengambil pendekatan yang sama seperti pemimpin terdahulu dan menghadapi kegagalan serupa.

'Menyentuh soal Koswe, saya memberitahu Perdana Menteri (Lee) Hsien Loong, saya tidak mahu ia menjejaki laluan yang sama dan berakhir dengan satu lagi masalah atau satu lagi kegagalan.

'Kita berdua setuju untuk melihat pada matlamatnya dan mencapai matlamat itu. Kita bincang tentang usaha meluaskan Koswe, laluan kereta api, apa-apa saja selagi matlamat kita tercapai,' ujarnya lagi sambil berkata satu kajian mendalam akan dilakukan untuk tujuan itu.

Menyentuh tentang Butiran Perjanjian (POA) yang masih tertunggak sejak 18 tahun lalu, kedua-dua pemimpin akur ia adalah masalah yang ingin sekali diselesaikan dan telah mengarahkan Menteri Ehwal Luar kedua-dua negara untuk bertemu bagi menghuraikannya.

Kata Encik Lee: 'Anda tahu bahawa ia adalah isu yang cukup lama, (tertunggak) lebih 18 tahun lalu dan ia bukan sesuatu yang mesti terus tertunggak kerana kami tidak mahu isu-isu tertunggak yang diwarisi menjejas hubungan kita.'

Hal itu turut dipersetujui Datuk Seri Najib sambil menyifatkan tempoh 18 tahun adalah terlalu lama.

'Ia adalah sesuatu yang kita sama-sama warisi. Kita tidak harus tunggu 18 tahun lagi untuk menghuraikannya,' tegas beliau.

Dalam sidang akhbar selama 15 minit yang bermula pada 12.30 tengah hari itu, Encik Lee sekali lagi merakamkan penghargaan kepada rakan sejawatannya atas kejayaan memberkas semula pemimpin Jemaah Islamiyah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari, di Johor pada 1 April lalu.

Menyentuh soal keselamatan, Encik Lee dan Datuk Seri Najib masing-masing memberi komitmen untuk terus bekerjasama bagi menangani sebarang ancaman yang boleh menjejas keselamatan kedua-dua negara.

Ini merupakan lawatan pertama Datuk Seri Najib ke Singapura selaku Perdana Menteri Malaysia selepas menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi bulan lalu.

Dalam lawatan dua harinya, Datuk Seri Najib ditemani isteri, Datin Sri Rosmah Mansor, dan barisan menteri Kabinet, terdiri daripada Tan Sri Nor Mohamed; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Menteri Luar, Datuk Anifah Aman; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd Isa; dan Menteri Besar Johor, Abdul Ghani Othman; serta pegawai kanan kerajaan.

Hubungan erat pemimpin kedua-dua negara jelas terpancar dengan Singapura semalam menamakan sejenis bunga anggerik kacukan Dendrobium, sebagai Dendrobium Najib Rosmah, sempena lawatan mereka ke Taman Anggerik di Kebun Bunga Singapura pagi semalam.

Di samping itu, Encik Lee semalam turut mengundang Datuk Seri Najib serta barisan Kabinetnya mengadakan retreat di sini lewat tahun ini.

Selain menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan, Datuk Seri Najib turut mengadakan pertemuan dengan Presiden S R Nathan dan Menteri Kanan, Encik Goh Chok Tong.

Malam tadi, beliau dan anggota delegasinya diraikan oleh Encik Lee dalam satu majlis makan malam.

Mereka berlepas balik pagi tadi.

Tiada ulasan: