TRANSLATE

Google Translate
Arabic Korean Japanese Chinese Simplified Russian Portuguese English French German Spain Italian Dutch

Pengikut

Khamis, 20 Ogos 2009

OKU DIMINTA MENDAFTAR DENGAN JKM AGAR TIDAK BERLAKU KECICIRAN


SETAJAM - Golongan orang kurang upaya (OKU) diminta mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan yang disediakan kerajaan.

Pegawai JKM Daerah Rompin, Liana Mohamed berkata, masih terdapat OKU yang layak mendapat bantuan tetapi tidak berdaftar dengan JKM menyebabkan kesukaran usaha membela nasib golongan itu.

Menurutnya, sekiranya mereka berdaftar melalui JKM banyak keistimewaan akan diperoleh termasuk mendapat elaun khas yang dibayar setiap bulan kepada golongan berkenaan.

“Saya meminta kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak OKU supaya berdaftar dengan JKM daerah untuk tindakan selanjutnya kerana terdapat keistimewaan sekiranya golongan ini didaftarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Dialog antara Ketua-Ketua Jabatan pada Program Info Bestari Rakyat Daerah Rompin.

Liana berkata, sebanyak RM150 sebulan diperuntukkan kerajaan bagi skim OKU yang tidak berupaya bekerja disebabkan keadaan fizikal mereka, tetapi golongan itu perlu berdaftar dengan jabatan itu untuk tindakan selanjutnya.

“Mereka perlu berdaftar dengan JKM dan jika belum berbuat demikian, JKM bersedia pada bila-bila masa membantu mereka mendapatkan kad pengenalan OKU.

“Jadi, saya harap tidak wujud kebimbangan atau keresahan di kalangan golongan OKU kerana kerajaan akan sentiasa mengambil langkah untuk memudahkan pemberian bantuan kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan warga emas yang berumur 60 tahun yang mempunyai cukup syarat dan kelayakan tertentu agar membuat permohonan kepada JKM untuk mendapatkan elaun sara hidup sebanyak RM300 sebulan.

“Sasaran bantuan ini kepada warga emas saja, dan mereka ini mestilah memenuhi syarat yang ditetapkan seperti tidak mempunyai pendapatan tetap, hidup berseorangan dan keluarga tidak mampu untuk menampung kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata, Mukim Endau adalah jumlah paling ramai menerima bantuan JKM yang mana seramai 367 penerima adalah dari mukim itu dengan 866 jumlah keseluruhan jumlah penerima bagi daerah itu.

Tiada ulasan: