TRANSLATE

Google Translate
Arabic Korean Japanese Chinese Simplified Russian Portuguese English French German Spain Italian Dutch

Pengikut

Khamis, 27 Ogos 2009

TIGA LANGKAH PERLU DIAMALKAN OLEH ORANG RAMAI UNTUK BENTERAS JENAYAH




KUALA ROMPIN - Orang ramai digesa mengamalkan tiga langkah iaitu menyimpan nombor telefon polis, memaklumkan sebarang kegiatan jenayah dan mengadakan sistem rondaan untuk bersama-sama membendung aktiviti jenayah di kawasan mereka.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, ketiga-tiga langkah itu penting bagi memastikan kadar jenayah di kawasan mereka dapat dihindarkan.

Menurutnya, langkah menyimpan nombor telefon polis khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) akan memudahkan orang ramai menghubungi pasukan itu jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Sebagai contoh, saya menasihatkan semua penduduk daerah Rompin supaya menyimpan nombor telefon IPD iaitu 09-4145222,” katanya.

Johari berkata, langkah kedua iaitu orang ramai digesa memberi maklumat kepada anggota polis yang mengadakan lawatan sekurang-kurangnya dua kali seminggu di kawasan mereka.

“Orang ramai terutama penduduk kampung dan kawasan perumahan perlu melaporkan apa jua bentuk jenayah yang berlaku di kawasan masing-masing untuk tindakan anggota bertugas,” katanya.

Beliau berkata, untuk langkah ketiga pula, masyarakat perlu sedar bahawa mereka boleh berganding bahu dengan pasukan keselamatan dengan mengadakan kawalan pada waktu-waktu tertentu yang akan diselia oleh pihak polis.

Menurutnya, apa yang perlu dilakukan oleh masyarakat adalah memberi maklumat dengan melaporkan kepada pihak polis jika melihat orang yang mencurigakan di kawasan mereka.

“Terus lapor kepada polis sekiranya terdapat keadaan mencurigakan berlaku di sesuatu kawasan itu terutama dalam usaha polis membanteras kegiatan pecah rumah, samun, rompakan dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan golongan pelajar supaya tidak terlibat dalam pergaduhan, merokok atau penyalahgunaan dadah.

“Sekiranya anak-anak muda terlibat dengan kegiatan ini, masa depan mereka akan gelap dan ini akan menjejaskan kehidupan selama-lamanya,” katanya.

Tiada ulasan: