TRANSLATE

Google Translate
Arabic Korean Japanese Chinese Simplified Russian Portuguese English French German Spain Italian Dutch

Pengikut

Khamis, 10 September 2009

LAGI ROMPAKAN ALA KUMPULAN PARANG DI ROMPIN





“Saya terkejut seolah-olah nyawa di hujung tanduk apabila parang penyamun itu berada dekat dengan leher saya,” kata Abdullah Daud, 69, ketika menceritakan detik cemasnya ketika bergelut dengan tiga penyamun di rumahnya di Kampung Parit 4, Pontian, Kuala Rompin di sini, semalam.

Abdullah berkata, semasa kejadian itu dia hanya mampu mengucap panjang apabila ketiga-tiga penyamun itu mengikat kedua-dua tangan dan mulutnya selepas dia bertindak untuk melawan mereka.

Menurutnya, dia terjaga dari tidur pada jam 2 pagi selepas bunyi bising di luar rumah sebelum tidur semula selepas memeriksa keadaan rumah.

“Saya tertidur dan terjaga semula serta mendapati ada dua suspek bersenjatakan parang sedang berada di depan saya selepas dia membuka lampu bilik,” katanya.

Dia berkata, penyamun yang dipercayai warga Indonesia itu terus mengugutnya dan meminta wang dan barang kemas sebagai imbuhan jika dia mahu nyawanya dan isteri selamat.

“Saya tetap melawan dan memberitahu mereka saya tidak ada duit serta tidak ada harta untuk diberikan, tapi mereka tetap tidak mempercayainya lalu merampas telefon bimbit saya,” katanya.

Abdullah berkata, akibat pergelutan itu, anaknya yang tidur di bilik berhampiran tersedar lalu seorang daripada penyamun terus menuju ke bilik anaknya itu.

Sementara itu anaknya, Mohd Fadzli Abdullah, 26, berkata, keadaan bising seperti orang sedang bertengkar menyebabkannya terus bangun dan terus membuka pintu bilik sebelum dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki bertopeng menggunakan parang cuba mencederakannya dari arah depan.

“Nasib baik saya sempat mengelak, tetapi saya cedera sedikit apabila serpihan mata parang terkena pada bahagian kiri bahu, telinga dan tangan saya,” katanya.

Dia berkata, tiba-tiba adiknya, Musa Abdullah, 25, muncul dengan parang terus menyerang penyamun terbabit lalu mengenai dua daripada mereka sebelum ketiga-tiganya bertindak melarikan diri.

“Kami sekeluarga memang sudah siap sedia parang di bilik kerana sebelum ini, tingkap belakang rumah ada kesan umpil dua hari sebelum kejadian,” katanya.

Beliau percaya ketiga-tiga penyamun itu warganegara asing berdasarkan dialek mereka sewaktu bergelut sebelum sempat melarikan diri di ladang sawit berhampiran.

1 ulasan:

honest berkata...

semoga kita sentiasa prihatin dengan keadaan dan dilindungi ALLAH dari mara bahaya sesama makhluk.