TRANSLATE

Google Translate
Arabic Korean Japanese Chinese Simplified Russian Portuguese English French German Spain Italian Dutch

Pengikut

Rabu, 21 Oktober 2009

TAHAP PENCAPAIAN BANGUNAN UMNO CAWANGAN KUALA ROMPIN


Kini tahap kemajuan pembinaan Bangunan UMNO Cawangan Kuala Rompin, boleh dibanggakan bahagian bawah telah siap didirikan asas bangunan, bulan september hingga november 2009 akan siap pembinaan tingkat 1 dan jika tidak ada masalah tingkat 2 akan siap pada bulan Januari 2009. Keseluruhan Bangunan ini dijangka dapat digunakan sepenuhnya pada bulan Julai 2009 dan di jangka PRU 13 nanti para penyokong UMNO/BN dapat sama-sama menggunakan bangunan ini untuk meraikan calun ADUN dan Parlimen dalam PRU 13.

Jumaat, 16 Oktober 2009

PERWAKILAN NEGERI-NEGERI BERKATA

MENARA UMNO


KALAU PERLU UMNO HARUS MENGWUJUDKAN DEWAN ULAMA UMNO.

KUALA LUMPUR: Umno Pulau Pinang mencadangkan supaya parti itu menubuhkan Dewan Ulama Umno serta mempergiatkan usaha untuk mendekati golongan agamawan.Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya berkata, langkah sedemikian perlu bagi memberi peranan yang khusus kepada golongan ulama Umno untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan hal-ehwal agama Islam. "Kita perlu dekati golongan agamawan, kalau perlu, kita wujudkan Dewan Ulama Umno," katanya. Jelas beliau, ulama Umno boleh memainkan peranan dalam soal keagamaan kerana agensi-agensi agama rasmi sedia ada mengambil sikap 'jalan selamat' dengan enggan mengulas mengenai beberapa isu yang ditimbulkan.

"(Mursyidul Am PAS, Datuk Abdul) Nik Aziz (Nik Mat) dah merapu, agensi agama rasmi pula ambil jalan selamat kerana tak mahu komen atau jawab beberapa isu, maka perlulah diwujudkan Dewan Ulama Umno," katanya. Selain itu, Shabudin juga mencadangkan agar Umno memanfaatkan media alternatif untuk mendekati rakyat. Jelasnya, saranan sedemikian bertepatan dengan perkembangan semasa kerana Umno kini dilemahkan dengan penyebaran maklumat-maklumat palsu oleh pembangkang melalui saluran berkenaan.

"Kebencian terhadap Umno ditanam oleh pembangkang. Umno sendiri dilemahkan oleh media alternatif melalui blog hinggakan golongan muda dan profesional cenderung serta simpati kepada pembangkang," katanya. Menurutnya, Umno perlu mewujudkan media rasminya sendiri bagi memudahkan penyebaran maklumat tanpa bergantung kepada media arus perdana sedia ada.

"Kita perlu manfaatkan sepenuhnya media alternatif. Wujudkan televisyen Umno, akhbar Umno, risalah gerak saraf serta lahirkan lebih ramai blogger-blogger Umno. "Kita jangan hanya bergantung kepada media arus perdana yang kita ada sahaja," katanya.

PILIH CALUN YANG DISUKAI RAKYAT BUKAN MEMECAHKAN RAKYAT ATAU UMNO.

KUALA LUMPUR: Perwakilan Umno disarankan memilih calon yang mampu memberikan kemenangan kepada parti dan bukannya yang suka menjual publisiti. “Kalau nak menang, pilih calon yang boleh menang dan bukannya asyik ‘bubuh’ calon yang nak glamor saja, yang asyik ‘acap’ masuk TV saja. “Bertanding saja, rakyat nak tengok muka dalam kawasan. Bukannya muka dalam TV atau surat khabar saja. Jasad dalam kawasan tak nampak kelibat, macam mana kita nak menang..,” kata Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Noor Zahidi Omar yang mewakili Umno Kelantan, dalam sesi perbahasan Usul Ucapan Dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung Umno 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Tambah Noor Zahidi lagi, dia juga melihat ‘trend’ menteri sekarang yang gemar mempromosikan diri mereka di televisyen. “Misalnya, ada yang memberitahu ‘temui saya di TV9, Astro Awani’. Jadi, saya nak mintalah supaya kita tak buat perkara seperti ini dan apa yang penting kita menerajui kementerian. “Kita buat apa yang Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) sarankan. Kita perlu jadi kreatif dan inovatif,” ujarnya lagi. Noor Zahidi juga mencadangkan supaya nilai-nilai demokrasi dapat diterapkan dalam setiap ahli Umno yang hendak bertanding.Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan Perdana Menteri supaya berhati-hati dengan ‘kaki bodek’. “Saya minta dengan Presiden supaya dapat mengkaji dengan lebih mendalam tentang syarikat berkaitan kerajaan (GLC). “Saya lihat di televisyen sebelum raya, banyak GLC yang pergi ke kawasan Perdana Menteri hulur zakat punya banyak. “Saya fikir, takkan ramai sangat orang miskin di kawasan Perdana Menteri? Jadi saya fikir GLC ni kerja dia ‘bodek’ Perdana Menteri sahaja. “Perdana Menteri ni kena hati-hati dengan GLC...,” tuturnya lagi.

AHLI UMNO HARUS DIBANTU

KUALA LUMPUR: Umno disaran supaya menubuhkan sebuah yayasan yang bertujuan untuk membantu ahli-ahlinya dan sekaligus dapat menarik minat rakyat untuk menyertai parti itu. Ketua Bahagian Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya berkata penubuhan yayasan berkenaan dapat menumpukan kepada usaha memberi khidmat khusus kepada ahli Umno yang memerlukan bantuan. "Kita sokong untuk merakyatkan Umno. Maka dengan itu untuk jadikan Umno bersama dengan rakyat dan ahli Umno bersama dengan Umno, kita cadangkan supaya Umno menubuhkan sebuah yayasan bagi membantu ahli Umno dan anak-anak ahli Umno," katanya semasa berucap pada sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno ke-60 di sini hari ini. Tambah beliau, Umno selama ini banyak memberikan khidmat dan bantuan kepada rakyat namun terlupa untuk membantu ahli-ahlinya sendiri. "Saya baru tersedar, kita orang-orang Umno hanya tumpu untuk tolong orang-orang susah, masuk dalam kampung untuk cari sakit, orang buta... memang baik Umno dah buat. "Tapi rupa-rupanya kita lupa ketua cawangan kita pun susah dan ada juga ketua bahagian yang susah... tapi orang kita (Umno), kita lupa nak bantu. "Ketua cawangan nak masukkan nama sendiri untuk terima beras, malu takut orang kata ambil kesempatan. "Isi borang anak orang lain untuk dapatkan biasiswa, tapi anak ketua cawangan sendiri tak dapat biasiswa," katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh perwakilan yang hadir. Jelas beliau, Umno perlu membantu ahli-ahlinya terutamanya di peringkat akar umbi agar parti itu sentiasa dekat di hati dan seterusnya usaha untuk meningkatkan dan memajukan parti dapat dilaksanakan. "Macam mana nak gerakkan parti kalau enjin dan bateri kita lemah. Sebab itu kita perlukan sebuah yayasan untuk bantu ahli-ahli Umno sendiri," katanya. Kata Shabudin lagi, langkah sedemikian juga secara tidak langsung dapat menarik minat rakyat untuk menyertai Umno demi masa depan. "Kalau Umno dapat beri bantuan khusus untuk ahli-ahlinya, barulah di situ kita katakan Umno itu rakyat, rakyat itu Umno. Tentu ramai yang nak masuk Umno," katanya.



Khamis, 15 Oktober 2009

PEMUDA AKAN PASTIKAN SESUMPAH TIDAK AKAN MEMERINTAH NEGARA


Pergerakan Pemuda Umno akan memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai 'sesumpah politik' tidak akan berjaya mentadbir negara ini.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata Pemuda Umno tidak akan membiarkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terus menerus membuat helah bagi mempengaruhi generasi muda dan keseluruhan rakyat Malaysia demi kepentingan politiknya.

"Anwar Ibrahim melalaikan masyarakat Malaysia, memanipulasi dan mengulit jiwa mereka dengan kata-kata indah seakan-akan dia lah pemimpin yang bersih, tulen, berintegriti, dan acap kali menuduh pemimpin UMNO sebagai rasuah, rakus dan rasis.

"Siapa sebenarnya Anwar Ibrahim? Pejuang rakyat marhaen? Pejuang agama Islam? Pejuang bangsa Melayu? Pejuang hak asasi yang berjaya dengan helahnya terhadap sebahagian generasi muda yang tidak pernah kenal siapa Anwar yang sebenar, seorang chameleon politik sesumpah yang berubah warna mengikut musim dan ketika melompat dari pohon ke pohon; makhluk pelbagai alam," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda di sini hari ini.

Malah Ahli Parlimen Rembau itu juga berkata adalah menjadi tanggungjawab Pemuda Umno untuk mendedahkan siapa sebenarnya pakatan pembangkang yang diterajuai Anwar.

Anwar merupakan Ketua Umum Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, PAS dan DAP.

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mendedahkan siapa sebenarnya pakatan pembangkang ini kerana mereka bukannya sebuah parti politik yang tulen.

"Malah perhubungan mereka bukannya berteraskan ikatan yang sah atas prinsip yang sama, apa yang sebenarnya wujud hanyalah satu perhubungan rambang dan kasual, tanpa prinsip moral, tanpa cinta sejati, tanpa hormat-menghormati.

"Mereka hanya satu pakatan yang sanggup tidur sekatil demi mimpi untuk ke Putrajaya, satu pakatan yang bernafas atas nafsu untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Selain itu katanya terdapat beberapa insiden yang dapat dilihat semenjak Pilihan Raya Umum ke-12 2008 yang menunjukkan tiada setiakawan dan tiada keikhlasan dalam perjuangan pembangkang.

"Tidak keterlaluan, jika saya nyatakan bahawa di antara mereka, DAP yang paling berkuasa manakala PAS sudah lari dari asas perjuangan dan menggadaikan prinsip tulen parti tersebut apabila negara Islam bukan lagi menjadi wawasan utama mereka.

"PAS tidak lagi garang bersuara, berani mengajar, jauh sekali berani menegur PKR dan DAP tentang pelbagai perkara. PAS tidak lagi sensitif kepada perkara-perkara pokok seperti cadangan menggunakan dana zakat bagi pentadbiran negeri di Selangor.

"PKR pula parti yang tandus ideologi, sekadar berkisar pengagungan seorang individu bernama Anwar Ibrahim. Apa sebenarnya prinsip perjuangan PKR? atau adakah mereka sama seperti DAP yang dahagakan kuasa? Kalau kononnya berjuang atas tiket keadilan dan anti rasuah, lihat sendiri pemimpin kamu itu wahai PKR," katanya.

Rabu, 14 Oktober 2009

KEPENTINGAN RAKYAT DIBERI KEUTAMAAN


PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sudah sampai masanya Umno menjadi parti utama yang menjaga kebajikan dan kesejahteraan bukan sahaja orang Melayu dan bumiputera tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya.

Perdana Menteri berkata dalam mewakili kepentingan orang Melayu dan bumiputera, Umno hendaklah berubah mengikut keadaan semasa dengan memainkan peranan sebagai parti utama yang turut memelihara kepentingan kaum lain.

Ini selaras dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, yang diamalkan oleh pentadbiran sekarang yang semakin mendapat penerimaan positif daripada semua kaum, katanya dalam satu temubual dengan Bernama di pejabat beliau di sini semalam.

"Walaupun Umno parti orang Melayu dan Bumiputera tetapi dalam masa yang sama biarlah Umno menjadi parti utama yang mempelopori kepentingan rakyat keseluruhannya, kata Presiden Umno itu ketika ditanya mengenai mesej dan imej yang ingin dibawa oleh Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2009 yang bermula malam tadi.

Najib bagaimanapun menjelaskan bahawa usaha itu bukanlah bermakna Umno akan membuka pintunya kepada semua kaum buat masa ini.

"Terserah kepada para anggota untuk menentukannya di masa akan datang sekiranya mereka sudah bersedia," katanya.

Beliau berkata Umno perlu mengajukan sikap keterbukaan dalam pendekatannya bagi menjaga kepentingan anggotanya dan rakyat keseluruhannya dalam menjalani proses pembaharuan.

"Jangan maknanya kita menumpu kepada ahli-ahli kita sahaja walaupun ahli-ahli kita ini penting, tetapi kita mesti ingin mempunyai kemampuan dan kebijaksanaan untuk memperluaskan lagi apa yang boleh kita lakukan dari segi menyampaikan mesej kita dan juga mengisi segala harapan dan menyelesaikan masalah-masalah rakyat pada keseluruhannya," katanya.

Najib berkata sebab itulah beliau menekankan "rakyat didahulukan" kerana rakyat akan memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional sekiranya mereka berpuas hati.

Perdana Menteri berkata kemenangan besar BN pada pilihan raya kecil Bagan Pinang pada Ahad lepas merupakan satu detik penting dalam proses untuk memulihkan semula semangat dan jiwa anggota Umno.

Bagaimanapun beliau mengingatkan mereka bahawa kemenangan tersebut tidak bererti segala-galanya sudah berada dalam keadaan begitu sempurna.

"Umno perlu berusaha secara lebih gigih dan terancang bagi mencapai kejayaan yang lebih besar lagi. Tanggungjawab dan tugas kita masih besar lagi yang perlu kita lakukan dengan komitmen dan dedikasi yang sepenuhnya.

"(Ketika itu) barulah kita boleh menganggap bahawa Umno sudah pun berada di atas landasan yang kukuh dan utuh," katanya.

Najib berkata Umno perlu melalui proses perubahan dan pembaharuan di samping mengekalkan tradisi termasuk nilainilai yang baik yang telah menjadi pegangannya selama ini.

"Di samping itu, Umno mesti juga menampilkan imej sebagai parti yang dinamik dan progresif," katanya.

Najib berkata beliau akan meneruskan mesej dan temanya sejak mengambil alih pucuk pimpinan parti dan kerajaan awal tahun ini dalam ucapan dasar sulungnya selaku Presiden Umno pada Khamis ini.

"Saya telah berikrar untuk membawa perubahan dan pembaharuan sama ada dari segi dasar kerajaan (dan) pendekatan yang kita lakukan termasuk juga metodologi yang kita terima pakai supaya lebih selaras dengan situasi dan keadaan semasa. Begitu juga parti," katanya.

Mengenai cadangan meminda perlembagaan parti itu, Najib berkata ia merupakan satu langkah yang begitu besar kesannya kerana inilah pertama kali dalam sejarah Umno, pindaan perlembagaan yang begini radikal dicadangkan untuk diterima oleh perhimpunan khas nanti.

Katanya pindaan sebelum ini lebih melibatkan prosedur tetapi kali ini ia begitu substantif kerana ia berkisar kepada proses pemilihan parti dan juga daripada segi kemasukan dalam Umno secara lebih terbuka.

"Saya juga berpendapat untuk mengubah manusia itu begitu sukar tetapi apa yang boleh kita lakukan ialah untuk menentukan satu sistem pemilihan yang lebih ketat lagi dan lebih telus lagi," katanya.

Cadangan pindaan dijangka memansuhkan sistem kuota bagi membolehkan seseorang pemimpin bertanding jawatan utama parti manakala lebih ramai anggota parti akan terlibat dalam membuat pemilihan untuk menjadikan sistem pemilihan lebih terbuka dan telus serta membanteras politik wang.

Najib berkata sekiranya seseorang hendak cuba mengeksploitasi sistem baru itu dengan membeli undi, risikonya adalah terlalu besar kerana bilangan perwakilan yang terlibat adalah seramai 150,000 orang.

"Adalah mustahil untuk menyembunyikan usaha membeli undi daripada 150,000 anggota perwakilan. Tentu sekali kalau dia cuba perbuatan itu mudah dikesan dan tindakan boleh diambil terhadap sesiapa yang menyalahgunakan hak di dalam parti kita," katanya.

Sebelum ini, pemilihan Presiden, Timbalan Presiden dan anggota Majlis Tertinggi parti ditentukan oleh 2,500 anggota parti yang menjadi perwakilan ke perhimpunan agung.

"Maknanya, apabila kita tukar sistem, maka sistem itu akan mengubah tindak tanduk ahli," katanya.

Najib berkata jawatankuasa disiplin parti dan etika parti masih kekal bagi mengawal politik wang. Melalui usaha itu, katanya, barulah Umno dapat menampilkan ia sebagai parti yang bermaruah, berintegriti dan bersih dan seterusnya mendapat sokongan rakyat.

Najib berkata langkah itu penting kerana rakyat terutamanya generasi muda dan terpelajar ingin melihat Umno sebagai parti yang berkualiti.

Mengenai sama ada terdapat bantahan akar umbi terhadap cadangan berhubung syarat minimum untuk seseorang bertanding jawatan utama parti, beliau berkata setakat ini tiada tetapi keputusan muktamad akan dibuat pada perhimpunan khas itu nanti.

Terdapat cadangan supaya seseorang pemimpin perlu berkhidmat sekurangkurangnya sebagai anggota Majlis Tertinggi untuk tempoh tertentu sebelum layak bertanding jawatan tertinggi parti.

Ditanya sama ada kedudukan beliau sendiri boleh tergugat dengan pindaan tersebut, Najib berkata: "Nasib saya di tangan ahli Umno dan rakyat. Saya serah kepada rakyat dan ahli Umno untuk menentukan.

"Apa yang saya pentingkan sekarang, saya nak buat kerja. Saya nak berkhidmat dengan sebaikbaiknya dengan komitmen sepenuhnya untuk kepentingan rakyat dan negara. Itu sahaja pada fikiran saya."

Mengenai kesimpulan yang boleh dibuatnya berhubung dengan kecenderungan anggota sekarang berbanding dengan semasa pilihan raya umum tahun lepas kerana ketika itu ada anggota Umno sendiri yang dikatakan mengundi pembangkang, beliau berkata: "Sudah ada perubahan di peringkat akar umbi terhadap Umno dan Barisan Nasional tetapi saya anggap ini sebagai satu proses yang penting sekarang, momentum ini kita teruskan.

"Kita tak boleh leka, orang kata sekalipun menang besar di Bagan Pinang, orang Putih kata "one swallow does not make a summer" (sehelai daun kering gugur tidak bermakna musim kemarau tiba). Jadi kita mesti buat apa yang harus kita lakukan berdasarkan kepada kerja yang tersusun rapi dan penuh komitmen."

Ditanya sama ada Umno mempunyai masa yang mencukupi untuk pemulihan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, Najib berkata Umno mesti sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang walaupun tempoh kerajaan atau Parlimen sekarang adalah sehingga Mac 2013.

Najib berkata isyarat utama yang perlu dihantar oleh perwakilan kepada anggota Umno, orang Melayu dan rakyat, ialah Umno merupakan parti yang kukuh.

Kedua, katanya, Umno sudah menerima mesej daripada pilihan raya dahulu dan ia menampilkan satu imej yang lebih dinamik, progresif serta mengelak daripada sebarang kecacatan yang boleh mengancam kedudukannya.

"Umno adalah parti yang sanggup berubah mengikut keadaan semasa," kata Najib. BERNAMA


KOMEN

Kita berharap kata-kata ini dapat direnung oleh pemimpin bawahan, tidak hanya Perdana Menteri seorang yang berkata yang lain hanya dengar, ketawa dan lupa dalam perjalanan balik dari EGM

Ahad, 11 Oktober 2009

UMNO/BN MENANG BERGAYA



Barisan Nasional (BN) mengekalkan penguasaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang apabila calonnya bagi pilihan raya kecil kawasan itu, Tan Sri Mohd Isa Samad menang dengan majoriti 5,435 undi.

Jumlah itu lebih besar daripada majoriti 2,333 undi yang diperolehi BN pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu.

Mohd Isa memperolehi 8,013 undi manakala lawannya daripada PAS, Zulkefly Mohamad Omar memperolehi 2,578 undi.

Sementara itu, jumlah undi rosak adalah 223 undi.

Perkara itu diumumkan oleh pengurus pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Abdul Wahab Shamsuddin di pusat penjumlahan undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson di sini, sebentar tadi.

Pilihan raya kecil ini merupakan yang kesembilan sejak pilihan raya umum 8 Mac.

Kemenangan ini merupakan yang kedua bagi BN memenangi pilihan raya kecil DUN Batang Ai pada April lalu.

Dalam reaksi awalnya, Mohd Isa ketika ditemui berkata, beliau bersyukur dengan perkembangan setakat ini yang memihak kepada BN.

"Memang kita yakin akan mendapat sokongan yang baik. Tambahan pula, Perdana Menteri telah jelaskan kenapa saya dipilih untuk mewakili BN dan Umno dan ia disokong oleh Timbalan Perdana Menteri yang berkempen siang dan malam di sini.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan perkembangan ini. Bagi saya, faktor kemenangan setakat ini adalah orang dah yakin semula kepada BN.

"Ini petanda baik bukan sahaja di Bagan Pinang malah di seluruh negara. Ini menunjukkan rakyat dah kembali yakin bahawa BN adalah parti yang mampu membangunkan negara walaupun kita akui ada sedikit masalah tapi ia mampu diselesaikan," katanya.



TANIAH UMNO/BN BERJAYA DI BAGAN PINANG

Jumaat, 9 Oktober 2009

ANGGOTA PARTI YANG BELUM MENCUKUPI 3 TAHUN MENJADI AHLI TIDAK LAYAK BERTANDING


Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Lajim Ukin mencadangkan supaya anggota yang baru menyertai parti itu tidak menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi dalam parti selagi keanggotaannya belum mencukupi tiga tahun.

Beliau berkata selain bertujuan melindungi kemuliaan taraf jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan anggota (MT), langkah itu bertujuan memberikan kefahaman kepada anggota baru mengenai perjuangan parti.

"Kita memikirkan tentang keutuhan parti supaya tidak tercemar dan harus difahami oleh anggota parti. Tujuannya bukan untuk menghalang (seseorang anggota) daripada bertanding tapi asalkan dia mengikut syarat yang ada yang ditetapkan parti.

"Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) tak nak ada lagi sekatan. Benarkan sahaja orang bertanding, tidak ada kuota, tidak ada syarat. Tetapi kita memikirkan kalau itulah yang akan berlaku, maka esok saya masuk Umno, saya boleh lawan apa juga jawatan. Janganlah hari ini masuk, esok terus bertanding," katanya ketika ditemu bual Bernama di sini pada Jumaat.

Selain itu, Lajim yang juga Ketua Umno Bahagian Beaufort, Sabah berkata pada pandangannya, untuk bertanding sebarang jawatan tertinggi contohnya Presiden dan Timbalan Presiden, seseorang itu mestilah menjadi anggota MT selama dua penggal untuk jawatan Presiden dan satu penggal untuk jawatan Timbalan Presiden.

"Implikasi yang akan terjadi dalam kelonggaran ini ialah pertama, orang bukan serius bertanding tetapi hanya memerlukan (jawatan) sahaja atau pun sengaja nak ikut bertanding. Jadi, kita tak nak itu (berlaku). Sekurang-kurangnya anggota itu perlulah menjadi anggota (Umno) selama tiga tahun," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan pindaan perlembagaan Umno dan kenyataan Naib Presiden Umno yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya diadakan satu syarat baru bagi memastikan jawatan tertinggi dalam Umno berada di tahap yang dihormati selepas ketiadaan sistem pencalonan atau kuota.

Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagaimanapun berpendapat cadangan itu bukan bertujuan menyekat mana-mana anggota parti daripada bertanding.

"Kita setuju supaya Presiden dan Timbalan Presiden (dipertandingkan)... tetapi bagi sedikit syarat supaya tidak sewenang-wenangnya orang Umno yang telah menjadi anggota bertanding jawatan Presiden. Untuk bertanding itu dia ada hak tetapi kelayakan untuk bertanding Presiden dan Timbalan Presiden itu mungkin belum sampai.

"Orang yang baru kena belajar cara kepimpinan, kena belajar tentang perjuangan sebenar, belajar bagaimana kita sama-sama boleh menyumbang kepada arah kekuatan parti.

"Bukan masuk parti terus pegang jawatan. Kita tidak akan dapat anggota yang berkualiti dan komited dalam perjuangan dan bukan (tujuan) kita (untuk) halang dia jadi calon," katanya.

Ditanya sama ada cadangan pindaan itu, yang turut menambah jumlah perwakilan seramai 2,500 ke Perhimpunan Agung Umno mampu menghapuskan politik wang dan menjadikan proses pemilihan lebih telus dan demokratik, Lajim berkata jika pindaan baru itu dihayati oleh segenap anggota parti, maka ia dapat menghapuskan politik wang.

"Sistem (yang ada) sekarang ini baik, tapi anggota-anggota parti yang tak ikut sistem ini, tak laksanakan sistem ini dan tak menghayati peraturan Umno. Sepatutnya tak ada masalah kalau ahli parti tidak menerima rasuah, tak minta rasuah, tak beri rasuah dan ia tidak akan berlaku.

"Sistem baru yang akan diperkenalkan ini boleh menyebabkan berlaku rasuah jika anggota Umno tidak sedar dan insaf bahawa perbuatan rasuah adalah salah. Harapan kita supaya orang yang ada wang, yang ada dana ini, jangan buat supaya kita boleh memilih pemimpin yang berwibawa, berkualiti dan bijak," katanya yang juga Anggota Parlimen Beaufort.

Penetapan "Hari Pemilihan Umno" dan menghapuskan sistem kuota adalah antara cadangan yang terkandung dalam draf cadangan konsep pemilihan dan pindaan Perlembagaan Umno.

Perhimpunan Agung Umno 2009 akan diadakan dari 13 Okt hingga 16 Okt ini di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

-- BERNAMA

UMNO AKAN MENGADAKAN PERHIMPUNAN AGUNG KHAS BUAT KALI PERTAMA DALAM SEJARAH


KUALA LUMPUR: Buat pertama kali dalam sejarah penubuhan Umno, Perhimpunan Agung Khas (EGM) akan diadakan dalam Perhimpunan Agung tahunan parti itu yang akan berlangsung dari 13 hingga 16 Oktober ini.

EGM tersebut akan berlangsung selama sehari iaitu pada 15 Oktober dan anggota perwakilan diperuntukkan masa sehari bagi membahas dan mencapai kesepakatan berhubung cadangan pindaan perlembagaan parti itu.

Menurut Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, perhimpunan agung kali ini lebih pendek iaitu selama empat hari kerana Umno baru sahaja selesai mengadakan mesyuarat agungnya untuk tahun 2008 pada Mac lalu.

Jelas beliau, hanya dua usul akan dibentangkan dalam perhimpunan agung kali ini, iaitu usul ucapan dasar presiden dan pindaan perlembagaan Umno.

“Selesai sahaja ucapan dasar Presiden, Perhimpunan Agung Umno 2009 akan ditangguhkan dan Perhimpunan Agung Khas Umno akan bermula dengan pembentangan cadangan pindaan oleh naib presiden parti yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Setiap wakil negeri dan wakil dari tiga sayap parti akan diberikan masa selama 15 minit untuk membahaskan ucapan presiden parti dan Perhimpunan Agung Khas itu dijangka dapat ditamatkan pada pukul 4 petang sebelum Perhimpunan Agung Umno 2009 diadakan semula,” katanya dalam taklimat kepada media menjelang Perhimpunan Agung Umno 2009 di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Jumaat.

Antara perkara yang akan dibentangkan mengenai pindaan perlembagaan ialah menghapuskan sistem kuota bagi pemilihan dalam parti dan menambah bilangan perwakilan yang akan diberi hak serta kuasa untuk memilih pemimpin pada masa akan datang.

Tengku Adnan berkata, pindaan terhadap perlembagaan parti akan menjadikan Umno lebih terbuka dan mampu menarik lebih ramai golongan muda untuk meneruskan perjuangan parti itu.

"Langkah-langkah ini akan meremaja dan memantapkan Umno,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya sistem pemilihan yang lebih baik dan terbuka, parti itu akan menarik lebih ramai golongan muda untuk menjadikannya sebagai wadah perjuangan politik mereka.

“Bagi memastikan pemilihan parti tidak diperlekehkan, akar umbi Umno menyokong cadangan supaya beberapa syarat dikenakan bagi mereka yang bertanding jawatan tertinggi parti.

“Akar umbi sendiri mahukan syarat-syarat minimum dikenakan bagi mereka yang bertanding jawatan tersebut,” ujarnya.

Jelas beliau, antara syarat yang dicadangkan ialah calon yang bertanding mestilah menjadi anggota parti untuk tempoh masa tertentu dan pernah memegang jawatan di peringkat cawangan atau bahagian serta faham mengenai hala tuju parti.

Ini adalah kerana akar umbi parti berpendapat jawatan presiden dan timbalan presiden parti juga akan memegang jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri negara ini, oleh itu ia tidak wajar diperkotak katikkan oleh mereka yang sengaja suka-suka masuk gelanggang, katanya.

"Presiden dan juga timbalan presiden sebenarnya tidak mahu meletakkan sebarang syarat untuk sesiapa sahaja merebut jawatan tertinggi parti, walau bagaimanapun akar umbi parti tetap mahu syarat minimum untuk melayakkan mereka bertanding,” ujar beliau lagi.

Mengulas lanjut mengenai perhimpunan agung kali ini Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, pihak pengurusan juga telah mengambil ketetapan untuk tidak menjemput wakil-wakil luar negara dan tidak memanggil pulang wakil-wakil Kelab Umno di luar negara kerana mereka baru sahaja pulang ketika perhimpunan agung yang lalu.

“Seramai 2,539 orang perwakilan peringkat bahagian dijangka hadir dan pihak pengurusan parti turut menjemput bekas presiden parti yang terdahulu, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad serta Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk hadir pada perhimpunan agung kali ini,” katanya.

Setakat ini sebanyak 37 agensi serta syarikat media yang melibatkan 876 petugas media telah mendaftar untuk membuat liputan perhimpunan itu termasuk lapan agensi media luar negara, kata Tengku Adnan.


KOMEN

Selamat menjalankan tugas di EGM kepada Perwakilan UMNO Bahagian Rompin. Selamat pergi dan selamat kembali.

Rabu, 7 Oktober 2009

SAMBUTAN HARI RAYA DI DUN TIOMAN


Isteri YB. Kpt (B) Mohd. Johari ADUN Tioman, Ustazah Zurina sedang menyampaikan sumbangan hari raya.




Rakyat pelbagai kaum di negara ini perlu mengambil peluang sempena sambutan Aidilfitri untuk menjalinkan semangat kejiranan sekali gus membentuk perpaduan bagi merealisasikan konsep 1Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Kapten (B) Mohd Johari Hussain berkata, semangat kejiranan perlu dipupuk tanpa mengira kaum sama ada Melayu, Cina, India, dan sebagainya dengan menjadikan sambutan perayaan sebagai landasan merapatkan perpaduan.

Menurutnya, amalan kunjung-mengunjung dan rumah terbuka dapat menunjukkan semangat gagasan 1Malaysia yang sebenar di antara masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Setiap kaum di negara ini berkongsi kemeriahan hari raya dengan kunjung mengunjungi dan penerimaan umat Islam terhadap kehadiran rakan-rakan dari pelbagai latar belakang merupakan amalan yang mulia.

“Sambutan hari raya kali ini diharap dapat mengeratkan lagi perpaduan antara kaum dengan berlandaskan semangat 1Malaysia,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

Mohd Johari berkata, kehadiran masyarakat pelbagai kaum ke rumah terbuka tersebut menggambarkan semangat perpaduan masih kukuh sejajar dengan gagasan yang 1Malaysia dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

Beliau berkata, konsep itu menyediakan landasan serta garis panduan yang kukuh buat seluruh rakyat Malaysia untuk terus kekal bersatu walaupun negara dilanda beberapa isu.

“Untuk itu saya menyeru seluruh rakyat DUN Tioman supaya benar-benar menghayati dan memahami gagasan 1Malaysia sebagai wahana bagi memantapkan perpaduan,” katanya.

Di samping itu, beliau meminta rakyat supaya mensyukuri nikmat dapat berhari raya dengan aman dan damai kerana tidak semua negara Islam dapat meraikan Aidilfitri seperti suasana di Malaysia.

Menurutnya, hasrat kerajaan untuk menjadikan setiap perayaan rakyat negara ini disambut secara bersama dengan masyarakat lain tanpa mengira kaum bagi memupuk semangat perpaduan telah mencapai matlamatnya.

“Tidak kira apa juga perayaan yang disambut, ia pasti bukan untuk satu-satu kaum sahaja.

“Ini merupakan petanda baik ke arah mewujudkan persefahaman yang erat di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Petikan dari Sinar

Selasa, 6 Oktober 2009

GAMBAR SEKITAR JAMUAN HARI RAYA DUN TIOMAN

Hadirin yang datang ke Jamuan hari raya mengambil kesempatan bergambat bersama ibu dan isteri YB. ADUN Tioman
Tetamu yang datang ke Jamuan Hari raya sekitar jam 11.30pagi dianggarkan tidak kurang dari 1,000 orang


6 buah kenopi yang disediakan mula di banjiri tetamu jam 12.30tgh dianggarkan jumlah keseluruhan hampir 2,000 orang

YB. ADUN Tioman sedang menyambut tetamu yang hadir


jam 1.00tgh hari, kehadiran tidak diduga kakitangan kerajaan, mula datang jumlah dianggarkan mencecah 4,000 orang sehingga jam 1.00tgh.


Isteri YB. ADUN Tioman, Ustazah Zurina sedang memberi wang raya kepada adik-adik kecil yang hadir.


Tetamu Khas dari Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan yang hadir
Tetamu di Persembahkan Ghazal Parti ( Ala Kedah ) yang disumbangkan dari Penduduk Kampung
Majlis Tahlil pada malam 5hb. kehadiran seramai 500 orang lebih.

Kita berdoa agar program gotong royong mengadakan majlis Jamuan hari raya yang dimulakan oleh YB. ADUN Tioman dapat di serapkan ke program program lain di DUN Tioman. kerana maufakat dan kerja berpasukan mula menunjukan kejayaan. Disini juga saya bagi pihak YB. ADUN Tioman ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tetamu Tetamu dari luar DUN Tioman yang sama-sama menjayakan program ini. tidak ketinggalan sahabat-sahabat dari DUN Ibam dan DUN Muadzam Shah. Kedatangan saudara menunjukan ikatan persahabatan yang terjalin. Bagitu juga Ahli-ahli parti Pembangkang yang hadir. Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kedatangan saudara-saudara mengiratkan lagi ikatan sesama kita tanpa menunjukan permusuhan dalam kefahaman politik. Terima kasih juga kepada Ahli UMNO Cawangan Kuala Rompin yang datang membantu dalam menyediakan makanan dari hari Ahad hingga ke hari Jamuan Hari Raya ADUN Kawasan Tioman. Terima kasih, terima kasih. Keiklasan semua tidak dapat dibalas oleh manusia malah YB sendiri, hanya Allah yang maha pengasih dan penyayang dapat membalasnya........................ AMIN

Ahad, 4 Oktober 2009

PROGRAM JAMUAN HARI RAYA DUN TIOMAN, PERMULAAN ADAT GOTONG ROYONG.

Penduduk Kampung dari Felda Selendang 1,2,3,4 Kuala Rompin, Simpang Sepayang dan Kampung Parit bergotong royong tua dan muda melapah dan menyiang daging lembu
Kaum ibu dan puteri sedang menyiang nenas, bawang dan lain-lain untuk
persiapan jamuan hari raya



Penyembelihan lembu oleh penduduk kampung di Masjid Kg. Simpang Sepayang


Hasrat YB. ADUN Tioman menyemarakkan semula adat gotong royang dikalangan masyarakat Melayu memampakkan kejayaan sempena gotong royong menyediakan Jamuan Hari Raya di DUN Tioman. Tidak kurang dari 200 orang penduduk dari Gugusan Felda Selendang, Kuala Rompin, Kampung Parit dan tidak ketinggalan Penduduk Kg. Simpang Sepayang. YB. sendiri berjalan ke hulu dan hilir melihat program julung-julung kali jamuan hari raya dibuat secara gotong royong di DUN Tioman.

" Tahun ini kita buat di Kg. Simpang Sepayang, Tahun depan kita buat di Pianggu dan kalau ada razeki dan di panjangkan umur kita buat di Kuala Rompin." Kata YB dengan nada bersungguh-sungguh.

Inilah detik permulaan bagi kita mengiratkan lagi masyarakat kampung tanpa memikirkan fahaman politik. Dari tinjauan dibuat bukan sahaja ahli UMNO yang hadir malahan ahli parti pembangkang juga turut hadir menjayakan Gotong Royong menyediakan makanan bagi Jamuan Hari Raya di DUN Tioman.

Kita hanya berdoa agar cita-cita YB. ADUN Tioman berjaya mengidupkan semula adat-adat yang dapat menyatukan semula orang melayu khasnya dan Rakyat di DUn Rompin amnya.

Insyallah perkara yang baik dan tawakkal akan ditolong oleh Allah.................... AMIN

Sabtu, 3 Oktober 2009

JAMUAN HARI RAYA DUN TIOMAN


MEWAKILI AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI KAWASAN TIOMAN
INGIN MENJEMPUT TAN SRI/ DATO'/ DATIN/ TUAN/PUAN/ SAUDARA/SAUDARI SEKITAR DUN TIOMAN, PARLIMEN ROMPIN DAN SEMUA YANG MEMBACA BLOG INI KE MAJLIS BACAAN YASIN DAN DOA SELAMAT
BERTEMPAT DI
KAMPUNG SIMPANG SEPAYANG, BERHAMPIRAN DATARAN SIMPANG SEPAYANG
SEPERTI ATURCARA DIBAWAH

AHAD 4 OKTOBER 2009
2.30petang - GOTONG ROYONG MEMASAK
9.00petang - MAJLIS MEMBACA YASIN DAN DOA SELAMAT
11.30malam - ACARA DITANGGUHKAN

ISNIN 5 OKTOBER 2009

9.OOpagi - ACARA GOTONG ROYONG MENGHIDANG JAMUAN RAYA
12.00tgh - JAMUAN HARI RAYA BERMULA
4.00petang - ACARA DITANGGUHKAN

SEMUA DIJEMPUT HADIR, BAGI SAUDARA DARI KERATONG YANG MEMBACA BLOG INI DENGAN BESAR HATI TOLONG SEBARKAN DAN SAYA MENANTI SAUDARA DISANA

DENGAN KEHADIRAN SEMUA MAJLIS INI BERTAMBAH SERINYA.
TQ

Jumaat, 2 Oktober 2009

HANYA 2 BORANG PENCALONAN DIBELI UNTUK DUN BAGAN PINANG



PORT DICKSON, 2 Okt (Bernama) -- Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang 11 Okt ini dijangka menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Ini berikutan, hanya dua borang pencalonan dibeli oleh calon BN, Tan Sri Mohamad Isa Samad dan Zulkefly Mohamad Omar daripada PAS.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada sidang akhbar hari ini selepas meninjau persiapan SPR menjelang penamaan calon yang akan diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson bermula 9 pagi Sabtu.

Bekas anggota jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Telok Kemang Shahruddin Abdul Hamid yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding atas tiket bebas pada pilihan raya kecil itu tidak membeli borang pencalonan.

Shahruddin yang mengisytihar keluar parti hari ini bagaimanapun memberitahu BERNAMA bahawa beliau telah membeli borang itu menerusi wakilnya tiga hari lepas di Pejabat SPR Seremban.

Namun begitu Abdul Aziz menyangkal dakwaan itu dan berkata pihaknya tidak mempunyai rekod pembelian borang pencalonan oleh pihak lain setakat ini.

"Sehingga petang ini hanya calon BN dan PAS yang beli borang, calon bebas tak beli daripada kita, tak tahulah kalau dia ambil borang lain. Calon yang mahu bertanding masih boleh beli borang sebelum tempoh penyerahan borang tamat pukul 10 pagi esok," katanya.

Mengulas mengenai hari penamaan calon pada Sabtu beliau berpuas hati dengan persiapan yang telah dibuat.

Abdul Aziz yang menjangkakan keadaan 'panas' sepanjang tempoh penamaan calon menasihati parti-parti yang bertanding supaya tidak membawa terlalu ramai penyokong bagi mengiringi calon.

Katanya penyokong BN akan berkumpul di Pejabat Daerah Port Dickson untuk mengiringi calon ke tempat penamaan calon manakala penyokong PAS akan berhimpun di stesen Minyak Esso berhampiran dewan itu.

Beliau berkata hanya 100 penyokong setiap parti yang bertanding dibenarkan memasuki khemah di perkarangan dewan itu dan meminta semua pihak supaya tidak menimbulkan kekecohan dan mematuhi peraturan yang ditetapkkan SPR dan pihak polis.

-- BERNAMA

PENDUDUK RUMAH ROSAK AKIBAT RIBUT MENERIMA BANTUAN DARI ADUN TIOMAN


KUALA ROMPIN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Rompin, semalam, menyumbangkan bantuan kepada 50 keluarga dari lapan perkampungan di Mukim Kuala Rompin yang dilanda ribut, Isnin lalu.

Sumbangan wang kepada penduduk di Kampung Tengah, Jeti Lama, Taman Seri Rompin, Pulau Lang Kiri, Sungai Puteri, Sepakat, Bandar Lama dan Sungai Kolek itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Kapten (B) Mohd Johari Hussain

Pegawainya, Liana Mohamed berkata, bantuan segera Tabung Bencana Daerah itu bertujuan meringankan beban mangsa yang mengalami kerugian akibat bencana itu.

“Memang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu mereka kurang bernasib baik lebih-lebih mangsa bencana alam,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, sumbangan itu bergantung kepada kerosakan selepas dibuat penilaian.

“Bagi mereka mengalami kerosakan pada tahap biasa, kita memperuntukkan minimum RM100, sementara RM500 pula diberi kepada mangsa yang rumah mereka rosak teruk.

“Kita berharap ia dapat bantu keluarga terbabit untuk membeli barangan keperluan di samping meringankan beban memperbaiki kerosakan rumah,” katanya.

Liana berkata, JKM sentiasa bersiap untuk membantu mangsa bencana alam pada masa akan datang, selain berusaha menyalurkan bantuan segera bagi meringankan beban mangsa.

Katanya, pihaknya juga bersimpati dengan nasib menimpa mangsa terbabit dan berharap mereka meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Kami juga berjanji akan hulurkan bantuan kepada mereka dilanda kesusahan,” katanya.

Bertanyakan mengenai bantuan kepada 10 gerai sementara yang musnah di Kampung Tekek, Pulau Tioman, Liana berkata, pihaknya sudah membuat lawatan ke lokasi itu, namun sebarang bentuk sumbangan belum dihulurkan.

“JKM melawat ke Pulau Tioman dan kami dapati kedai itu milik Lembaga Pembangunan Tioman (TDA),” katanya.

PETIKAN DARI SINAR HARIAN

Khamis, 1 Oktober 2009

6 KES KEMATIAN DALAM OP SIKAP PDRM DI DAERAH ROMPIN


Meskipun jumlah kematian akibat kemalangan maut di seluruh negara sempena Ops Sikap Ke-20, meningkat berbanding tahun lalu, namun angka korban di daerah ini turun lima kes.

Ketua Operasi Ops Sikap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, Chief Inspektor, Abd Rahman Abd Jalil berkata, sebanyak enam kematian dicatatkan dalam Ops Sikap sempena Aidilfitri tahun ini berbanding 11 kes pada tahun lepas.

Menurutnya, angka kemalangan maut itu turun berikutan beberapa faktor antaranya kempen pemasangan papan tanda amaran had kelajuan, keadaan cuaca yang baik dan kempen memperingati penunggang jalan raya semasa sekatan jalan dibuat.

:“Sebanyak 35 papan tanda peringatan pemanduan diletakkan di beberapa lokasi jalan tumpuan antaranya di jalan Kuantan-Segamat, Kuantan-Seremban dan Kuantan-Johor Bharu bagi memberi peringatan dan kesedaran kepada pengguna jalan raya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Selain itu katanya, faktor cuaca dan cuti panjang juga menyebabkan angka kematian di daerah itu menurun berbanding tahun lalu.

“Kami melakukan pemantauan 24 jam bagi memastikan keadaan jalan raya di daerah ini berjalan lancar dan mengikut had kelajuan ditetapkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, Ops Sikap yang dijalankan serentak di seluruh negara sempena musim perayaan itu bertujuan mengurangkan risiko kemalangan di kalangan pengguna terutama menjelang musim perayaan ini.

Menurutnya, sikap pemandu di negara ini yang gemar melanggar undang-undang semasa di jalan raya, menyebabkan angka kematian sukar diturunkan meskipun pelbagai usaha dilakukan polis dalam mengawal kemalangan jalan raya.

“Masyarakat perlu menilai dan berfikir serta mengubah sikap untuk menjadi pemandu yang bertanggungjawab, patuh kepada peraturan jalan raya serta berhemah ketika memandu,” katanya



Petikan dari Sinar