TRANSLATE

Google Translate
Arabic Korean Japanese Chinese Simplified Russian Portuguese English French German Spain Italian Dutch

Pengikut

Jumaat, 16 Oktober 2009

PERWAKILAN NEGERI-NEGERI BERKATA

MENARA UMNO


KALAU PERLU UMNO HARUS MENGWUJUDKAN DEWAN ULAMA UMNO.

KUALA LUMPUR: Umno Pulau Pinang mencadangkan supaya parti itu menubuhkan Dewan Ulama Umno serta mempergiatkan usaha untuk mendekati golongan agamawan.Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya berkata, langkah sedemikian perlu bagi memberi peranan yang khusus kepada golongan ulama Umno untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan hal-ehwal agama Islam. "Kita perlu dekati golongan agamawan, kalau perlu, kita wujudkan Dewan Ulama Umno," katanya. Jelas beliau, ulama Umno boleh memainkan peranan dalam soal keagamaan kerana agensi-agensi agama rasmi sedia ada mengambil sikap 'jalan selamat' dengan enggan mengulas mengenai beberapa isu yang ditimbulkan.

"(Mursyidul Am PAS, Datuk Abdul) Nik Aziz (Nik Mat) dah merapu, agensi agama rasmi pula ambil jalan selamat kerana tak mahu komen atau jawab beberapa isu, maka perlulah diwujudkan Dewan Ulama Umno," katanya. Selain itu, Shabudin juga mencadangkan agar Umno memanfaatkan media alternatif untuk mendekati rakyat. Jelasnya, saranan sedemikian bertepatan dengan perkembangan semasa kerana Umno kini dilemahkan dengan penyebaran maklumat-maklumat palsu oleh pembangkang melalui saluran berkenaan.

"Kebencian terhadap Umno ditanam oleh pembangkang. Umno sendiri dilemahkan oleh media alternatif melalui blog hinggakan golongan muda dan profesional cenderung serta simpati kepada pembangkang," katanya. Menurutnya, Umno perlu mewujudkan media rasminya sendiri bagi memudahkan penyebaran maklumat tanpa bergantung kepada media arus perdana sedia ada.

"Kita perlu manfaatkan sepenuhnya media alternatif. Wujudkan televisyen Umno, akhbar Umno, risalah gerak saraf serta lahirkan lebih ramai blogger-blogger Umno. "Kita jangan hanya bergantung kepada media arus perdana yang kita ada sahaja," katanya.

PILIH CALUN YANG DISUKAI RAKYAT BUKAN MEMECAHKAN RAKYAT ATAU UMNO.

KUALA LUMPUR: Perwakilan Umno disarankan memilih calon yang mampu memberikan kemenangan kepada parti dan bukannya yang suka menjual publisiti. “Kalau nak menang, pilih calon yang boleh menang dan bukannya asyik ‘bubuh’ calon yang nak glamor saja, yang asyik ‘acap’ masuk TV saja. “Bertanding saja, rakyat nak tengok muka dalam kawasan. Bukannya muka dalam TV atau surat khabar saja. Jasad dalam kawasan tak nampak kelibat, macam mana kita nak menang..,” kata Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Noor Zahidi Omar yang mewakili Umno Kelantan, dalam sesi perbahasan Usul Ucapan Dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung Umno 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Tambah Noor Zahidi lagi, dia juga melihat ‘trend’ menteri sekarang yang gemar mempromosikan diri mereka di televisyen. “Misalnya, ada yang memberitahu ‘temui saya di TV9, Astro Awani’. Jadi, saya nak mintalah supaya kita tak buat perkara seperti ini dan apa yang penting kita menerajui kementerian. “Kita buat apa yang Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) sarankan. Kita perlu jadi kreatif dan inovatif,” ujarnya lagi. Noor Zahidi juga mencadangkan supaya nilai-nilai demokrasi dapat diterapkan dalam setiap ahli Umno yang hendak bertanding.Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan Perdana Menteri supaya berhati-hati dengan ‘kaki bodek’. “Saya minta dengan Presiden supaya dapat mengkaji dengan lebih mendalam tentang syarikat berkaitan kerajaan (GLC). “Saya lihat di televisyen sebelum raya, banyak GLC yang pergi ke kawasan Perdana Menteri hulur zakat punya banyak. “Saya fikir, takkan ramai sangat orang miskin di kawasan Perdana Menteri? Jadi saya fikir GLC ni kerja dia ‘bodek’ Perdana Menteri sahaja. “Perdana Menteri ni kena hati-hati dengan GLC...,” tuturnya lagi.

AHLI UMNO HARUS DIBANTU

KUALA LUMPUR: Umno disaran supaya menubuhkan sebuah yayasan yang bertujuan untuk membantu ahli-ahlinya dan sekaligus dapat menarik minat rakyat untuk menyertai parti itu. Ketua Bahagian Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya berkata penubuhan yayasan berkenaan dapat menumpukan kepada usaha memberi khidmat khusus kepada ahli Umno yang memerlukan bantuan. "Kita sokong untuk merakyatkan Umno. Maka dengan itu untuk jadikan Umno bersama dengan rakyat dan ahli Umno bersama dengan Umno, kita cadangkan supaya Umno menubuhkan sebuah yayasan bagi membantu ahli Umno dan anak-anak ahli Umno," katanya semasa berucap pada sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno ke-60 di sini hari ini. Tambah beliau, Umno selama ini banyak memberikan khidmat dan bantuan kepada rakyat namun terlupa untuk membantu ahli-ahlinya sendiri. "Saya baru tersedar, kita orang-orang Umno hanya tumpu untuk tolong orang-orang susah, masuk dalam kampung untuk cari sakit, orang buta... memang baik Umno dah buat. "Tapi rupa-rupanya kita lupa ketua cawangan kita pun susah dan ada juga ketua bahagian yang susah... tapi orang kita (Umno), kita lupa nak bantu. "Ketua cawangan nak masukkan nama sendiri untuk terima beras, malu takut orang kata ambil kesempatan. "Isi borang anak orang lain untuk dapatkan biasiswa, tapi anak ketua cawangan sendiri tak dapat biasiswa," katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh perwakilan yang hadir. Jelas beliau, Umno perlu membantu ahli-ahlinya terutamanya di peringkat akar umbi agar parti itu sentiasa dekat di hati dan seterusnya usaha untuk meningkatkan dan memajukan parti dapat dilaksanakan. "Macam mana nak gerakkan parti kalau enjin dan bateri kita lemah. Sebab itu kita perlukan sebuah yayasan untuk bantu ahli-ahli Umno sendiri," katanya. Kata Shabudin lagi, langkah sedemikian juga secara tidak langsung dapat menarik minat rakyat untuk menyertai Umno demi masa depan. "Kalau Umno dapat beri bantuan khusus untuk ahli-ahlinya, barulah di situ kita katakan Umno itu rakyat, rakyat itu Umno. Tentu ramai yang nak masuk Umno," katanya.



Tiada ulasan: