TRANSLATE

Google Translate
Arabic Korean Japanese Chinese Simplified Russian Portuguese English French German Spain Italian Dutch

Pengikut

Selasa, 3 November 2009

GENERASI MUDA PERLU MARTABATKAN BAHASA MELAYU



Orang Melayu perlu mengikis sikap malu serta kurang yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Kapten (B) Mohd Johari Hussain berkata, ada segelintir orang Melayu tidak gemar menggunakan bahasa kebangsaan itu dalam sebarang aktiviti seperti ucapan, syarahan seminar dan sebagainya.

Malah, apa yang menyedihkan katanya, ada orang asing mampu mengamalkan salah satu warisan milik orang Melayu itu dalam kehidupan mereka berbanding orang Melayu sendiri.

“Saya kira, masalah ini disebabkan kurangnya keyakinan orang Melayu terhadap bahasanya sendiri dan menganggap bahasa itu tidak cukup besar untuk dipertuturkan di khalayak ramai.

“Sepatutnya, rakyat Malaysia khususnya orang Melayu tidak perlu bersikap demikian tetapi harus berbangga dengan warisan bangsa kerana ia mempunyai kemampuan sama seperti bahasa asing lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Daerah Rompin.

Dalam pada itu, Mohd Johari juga turut menggesa pemimpin dalam kalangan generasi muda perlu mengambil langkah memupuk semangat cintakan bahasa Melayu dalam usaha memperkasa dan memartabatkan bahasa tersebut.

“Pemimpin muda di negara ini perlu menjadi perintis bahasa Melayu agar generasi muda pada masa depan tidak terhakis dengan keindahan yang ada dalam bahasa Melayu itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, mereka perlu jelas dengan perkara itu dan menggerakkan usaha menerusi kempen mencintai bahasa kebangsaan sehingga ke akar umbi.

“Pemimpin muda perlu agresif dalam perkara ini kerana ia merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul bersama.

“Mereka perlu bergerak mulai sekarang bagi memberi penerangan ke akar umbi dan memastikan martabat bahasa Melayu terus terbela,” katanya.