TRANSLATE

Google Translate
Arabic Korean Japanese Chinese Simplified Russian Portuguese English French German Spain Italian Dutch

Pengikut

Ahad, 27 Disember 2009

AMBIL AJA KERUSI PKR

( Gambar Sekadar Hiasan )



SEJAK 1990, apabila Pas mula memerintah Kelantan, ia dianggap kawasan selamat bagi Pas, oleh itu siapa sahaja yang diletakkan sebagai calon bagi bertanding kerusi Parlimen ia tidak ada masalah.

Pada masa ini terdapat tiga pemimpin Pas yang bukan berasal dari Kelantan tetapi menjadi Ahli Parlimen di negeri berkenaan, mereka ialah Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa (Bahcok), Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) dan Bendahari Agung Pas, Dr.Hatta Ramli (Kuala Krai).

Tetapi apakah nasib mereka selepas ini, setelah wujudnya isu bahawa Pas Kelantan akan mempertimbangkan untuk mengutamakan calon anak tempatan bagi bertanding kerusi Parlimen di negeri itu.

Walaupun setakat ini, belum ada keputusan muktamad tetapi ia menjadi bualan ramai. Ada yang mengaitkan ia dengan hubungan dingin antara Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Nasharuddin, justeru timbul andaian bahawa antara ketiga-tiga Ahli Parlimen tersebut Nasharuddin paling tidak selamat.

Bagaimanapun adalah terlalu awal untuk membuat telahan memandangkan Nik Abdul Aziz sendiri sudah menyatakan bahawa, ''Di dalam Islam tidak ada perbezaan antara orang luar dan orang dalam.''

Penganalisis politik dan sosial, Ahmad Masrizal Muhammad berkata, walaupun penentuan soal ini adalah hak eksklusif kerajaan Pas Kelantan tetapi Pas negeri itu sudah dianggap model kepada Pas negeri lain terutama dalam membentuk pentadbiran politik.

''Dasar sedia ada iaitu adanya orang luar menjadi wakil rakyat Pas di Kelantan adalah satu keunikan yang melambangkan sikap keterbukaan dan keberanian, inilah yang menjadi Pas Kelantan berbeza dengan Pas negeri lain,'' katanya.

Oleh itu kata beliau jika Pas Kelantan benar-benar hendak mengamalkan dasar tidak mahu lagi menerima orang luar ia perlu dijelaskan kepada penyokong parti itu.

Sememangnya itulah langkah yang harus dilakukan oleh Pas Kelantan bagi mengelakkan sebarang spekulasi dibuat, jika 'dasar tutup pintu' kepada orang luar tersebut dilaksanakan. Hakikatnya, ketiga-tiga ahli Parlimen berkenaan terutamanya Nasharuddin dan Salahuddin bukanlah calang-calang pemimpin. Mereka dilihat pemimpin masa depan Pas. Nasharuddin dilihat cukup cemerlang di peringkat pusat.

Menumbangkan

Kejayaan menumbangkan Datuk Awang Adek Hussain di Bachok pada pilihan raya umum lalu sudah membuktikan bahawa penyokong Pas melihat bahawa ketokohan Nasharuddin tidak harus disia-siakan.

Begitu juga Salahuddin yang diterima baik oleh pengundi-pengundi Kubang Kerian kerana beliau melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan sehingga menyukarkan UMNO Kelantan menembusi kubu kuat Pas itu. Walaupun berasal dari Johor tetapi Salahuddin tidak pernah mengabaikan tanggungjawab di Kubang Kerian, sebab itulah jika Pas Kelantan tidak lagi membenarkan beliau bertanding di situ, ia bukan sahaja akan merugikan mereka tetapi juga Pas pusat.

Mungkin juga selepas memerintah 20 tahun, Pas Kelantan berasa masanya sudah tiba untuk anak tempatan diutamakan. Sebenarnya langkah itu tidak salah tetapi mereka perlu berhati-hati bagi mengelakkan sebarang tafsiran bahawa ia ibarat perbuatan 'lepas manis sepah dibuang.'

Ia kerana setakat ini, orang luar yang menjadi Ahli Parlimen Pas di Kelantan telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dan mereka berkhidmat di negeri Cik Siti Wan Kembang itu seolah-olah itu negeri asal mereka. Janganlah kerana ada sedikit 'perselisihan faham' dalam pendirian politik, maka mereka hendak dikorbankan begitu sahaja tanpa memikirkan implikasinya bagi jangka masa panjang kepada Pas.

Menyentuh perkara itu, Ahmad Masrizal berkata, soalnya jika berbalik semula dengan formula baru iaitu Kelantan untuk orang Kelantan sahaja, dalam keadaan gelora politik yang tidak bertepian yang melanda Pas sekarang ini termasuk permasalahan integriti pentadbiran kerajaan negeri, apakah Pas mampu menjamin rekod kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti?

Hujah seumpama ini seharusnya menyedarkan Pas bahawa cabaran untuk mereka terus menikmati kemenangan selesa seperti mana dalam pilihan raya umum lalu adalah terlalu getir.

Mungkin mereka merasakan Pas semakin selesa di Kelantan tetapi mereka tidak harus lupa bahawa dalam politik segalanya boleh berlaku. Pas negeri itu hakikatnya tidak sekebal mana, tersilap langkah mereka boleh kehilangan kuasa.

Apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum 2004, apabila Nik Abdul Aziz terpaksa memerintah dengan kelebihan hanya dua kerusi sudah menjadi bukti bahawa kekuatan Pas bukannya tidak boleh diruntuhkan.

Apatah lagi, sama ada mereka hendak mengakui atau tidak, kekuatan Pas di Kelantan bergantung kepada Nik Abdul Aziz. Jika selepas ini Nik Abdul Aziz terpaksa berundur, maka pengunduran itu akan menyeret bersama kekuatan berkenaan.

Dalam memastikan ia tidak menjadi kenyataan, Pas Kelantan harus bijak berstrategi dan bukannya dengan mudah membuat sesuatu keputusan hanya semata-mata berlandaskan kepada pandangan satu dua pihak sahaja.

Mahu tidak mahu, Pas harus mengakui bahawa di peringkat Parlimen masih terdapat banyak kerusi di seluruh negara yang tidak selamat untuk pemimpin-pemimpin utamanya bertanding.

Tambahan pula dengan kesepakatan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), ruang untuk Pas bertanding di kawasan-kawasan yang parti itu ada harapan adalah tipis.

Adalah lebih wajar jika Pas mengambil kembali tiga kerusi Parlimen miliknya di Kelantan yang sebelum ini diberikan kepada PKR iaitu di Ketereh, Machang dan Tanah Merah. Itu lebih baik daripada mereka menyingkirkan orang mereka sendiri hanya kerana faktor orang luar.

Apatah lagi, di Kelantan kehadiran PKR ibarat hidup segan mati tak mahu. Parti itu tidak mempunyai apa-apa pengaruh, sebaliknya hanya bergantung kepada kekuatan Pas bagi meraih kemenangan dalam pilihan raya. Adalah wajar jika Pas bertanding di semua kawasan Parlimen manakala PKR hanya diberikan satu dua kerusi sahaja di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebelum ini pun kehadiran PKR tidak menyumbang apa-apa kepada Pas di Kelantan maknanya bak kata orang, ada pun tak untung, tak ada pun tak rugi.

Apa pun Pas Kelantan mempunyai kata putus dengan restu Pas pusat bagi menentukan sama ada calon orang luar perlu terus diberi kebenaran bertanding di negeri itu atau tidak.

Tetapi apa yang pasti, kekuatan Pas di Kelantan tidaklah sehebat dulu, terlalu banyak peristiwa yang berlaku kebelakangan ini menunjukkan bahawa lagi lama mereka memerintah lagi banyak kepincangan berlaku kerana Pas juga adalah parti politik.

Petikan Dari UM online

Tiada ulasan: