TRANSLATE

Google Translate
Arabic Korean Japanese Chinese Simplified Russian Portuguese English French German Spain Italian Dutch

Pengikut

Khamis, 10 Disember 2009

JETI LAMA YANG TINGGAL TIANG MENYAKITKAN MATA, DIPULAU TIOMAN


PULAU TIOMAN – Penduduk di Kampung Mukut, Pulau Tioman di sini, menggesa Jabatan Laut merobohkan segera jeti lama di kampung Mukut kerana membahayakan keselamatan bot nelayan ketika melalui perairan Tioman.

Penduduk, Asmadi Mohd Tahir, 38, mendakwa, jeti konkrit kayu yang dibina di kawasan itu belum dirobohkan sepenuhnya memandangkan terdapat struktur binaan kayu yang masih tertinggal.

Menurutnya, jeti yang berusia lebih 20 tahun itu juga pernah menyebabkan beberapa kes kematian di kawasan itu berikutan kayu yang ada di perairan itu membahayakan bot kecil terutama pada waktu malam.

“Masih ada cebisan kayu yang masih belum dirobohkan Jabatan Laut meskipun perkara ini sudah lama diberitahu hingga ada kes kematian dilaporkan di kawasan itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Asmadi berkata, Jabatan Laut perlu melakukan tindakan segera bagi mengelakkan kejadian seperti itu berlaku pada masa depan sekali gus menangkis tanggapan tidak baik kepada pulau peranginan berkenaan.

Penduduk lain, Saman Salam, 56, berkata, perkara itu sudah diajukan kepada Jabatan Laut menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Mukut.

Namun katanya, tiada sebarang tindakan diambil pihak berkaitan bagi mengatasi masalah itu sebaliknya penduduk terpaksa menunggu bertahun lamanya supaya jeti lama itu dapat dirobohkan.

“Tiada tindakan langsung daripada pihak terbabit. Saya mahu tegaskan bahawa adakah bila ada kes kematian baru mereka mahu merobohkan jeti lama itu,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mat Latar Mahmod, 38, berkata, selain daripada isu keselamatan, jeti lama itu juga menjejaskan pemandangan di kawasan itu kerana terdapat serpihan kayu yang belum dirobohkan.

Beliau berkata, perkara itu perlu diperhalusi Jabatan Laut kerana ia boleh memberi tanggapan yang buruk kepada Tioman oleh pelancong yang datang ke kampung berkenaan.

“Pulau Tioman memang sudah dikenali antara pulau tercantik, jadi keindahan dan kecantikan semula jadinya perlu dipelihara bagi menarik lebih ramai pelancong,” katanya.

petikan dari sinar

Tiada ulasan: