TRANSLATE

Google Translate
Arabic Korean Japanese Chinese Simplified Russian Portuguese English French German Spain Italian Dutch

Pengikut

Sabtu, 2 Januari 2010

SAYA HARAP DATUK SAHOL AKAN JAGA UITM BAIK-BAIK



PETALING JAYA: "Saya berharap Datuk Sahol menjalankan tugasnya sebagai Naib Canselor yang baru dengan baik."

Demikian harapan bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Profesor Dr Ibrahim Abu Shah kepada penggantinya, Datuk Prof. Ir. Sahol Hamid Abu Bakar.

Ibrahim berkata, beliau mengharapkan Sahol akan meneruskan perjuangannya dalam mengangkat UiTM sebagai salah sebuah universiti terbaik dan sebagai institut pengajian tinggi bertaraf dunia.

"Saya harap Datuk Sahol akan jaga UiTM baik-baik, jaga pelajar-pelajar dan semua staff yang ada," katanya ketika ditemui selepas majlis akad nikah anak kepada bekas Menteri Penerangan, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat, Nur Jasni dan Liza Mydin di sini hari ini.

Kata Ibrahim, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) itu juga harus sentiasa berpegang pada prinsip dan falsafah UiTM supaya dapat mengimbangkan kedudukan antara kaum bukan sahaja bidang pendidikan tetapi juga modal ekuiti bangsa Melayu yang tidak berbelah bagi.

"Kita harus bersatu hati dalam menebus maruah orang Melayu. Jangan sesekali kita lupa asal usul bila sudah berjaya.

"Sentiasa ingat asal usul kita," katanya.

Beliau turut berharap isu yang sering ditimbulkan mengenai UiTM seperti kuota tidak lagi timbul dan berharap kaum lain faham dan tidak menjadikan ia sebagai isu.

"Saya juga berharap ahli politik jangan mencampur adukkan perkara-perkara yang tidak berkaitan. Beri kita peluang untuk mainkan peranan," katanya.

Katanya lagi, pelajar-pelajar tidak seharusnya berputus asa jika isu-isu begini dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan mengharapkan pelajar-pelajar UiTM membuktikan diri sebagai insan cemerlang.

"Beri kita (orang Melayu) peluang untuk buktikan diri. Mereka kata orang Melayu pemalas, beri kita peluang untuk perbetulkan diri," ujarnya.

Dalam pada itu, Ibrahim turut mengucapkan penghargaan kepada kerajaan kerana memberi kepercayaan kepadanya menerajui UiTM selama sembilan tahun.

"Terima kasih juga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana banyak membantu saya dalam memperjuangkan UiTM," katanya.

Ditanya mengenai perancangan beliau selepas ini, beliau berkata: "Buat masa ini saya ingin berehat. Sembilan tahun saya menerajui UiTM."

Beliau juga tidak menolak akan terus memperjuangkan UiTM dengan batasan yang ada.

"Saya nak tolong bangsa saya," katanya.

Tiada ulasan: